COVID-19 : Majlis Keagamaan Cetus Kluster Berkaitan Komuniti Di Kuala Penyu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Kluster berkaitan komuniti dikesan di daerah Kuala Penyu hari ini dipercayai berpunca daripada majlis keagamaan yang dihadiri oleh ahli keluarga kes indeks.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster yang dinamakan Kluster Kayul itu tercetus apabila kes indeks seorang warganegara berusia 62 tahun dikesan positif.

“Satu kluster baharu komuniti telah dikesan di Daerah Kuala Penyu hari ini yang dinamakan sebagai Kluster Kayul yang tercetus apabila kes indeks seorang warganegara berusia 62 tahun dikesan positif selepas menjalani ujian RTK Antigen.

“Kes indeks didapati telah mengadakan majlis keagamaan bertempat di Kampung Kayul yang dihadiri oleh ahli keluarga dari Kampung Kayul, Kampung Kebunau dan Kampung  Gerowot,” katanya dalam kenyataan disini  hari ini.

Masidi berkata, saringan pengesanan keatas kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini mendapati 24 kes lagi termasuk empat kes baru pada hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah kembali meningkat pada hari ini dengan 21 kes lebih tinggi daripada semalam menjadikan jumlah kes kumulatif harian sebanyak 265 kes.

Katanya, Kota Kinabalu mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 70 kes diikuti daerah Papar dengan 23 kes (+7), Ranau 23 (-4), Penampang 19 (-31), Tuaran 19 (-5) dan Kota Belud 18 (-1).

“Secara keseluruhan, 10 daerah mencatatkan kes pada dua angka berbanding 11 daerah yang mencatat kes baharu pada satu angka dan enam daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

“Daerah Penampang merekodkan jumlah penurunan (-31) yang paling besar,” katanya.

Masidi berkata, sejumlah 261 dari 265 kes yang direkodkan adalah dalam Kategori 1 dan 2.

“Terdapat satu kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *