PCS ROVR PDB Pertama Di Malaysia Mudahkan Masyarakat Luar Bandar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

BEAUFORT : Sistem Kontena Mudah Alih Mini ROVR (PCS ROVR) melalui Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang pertama di Malaysia dilancarkan di daerah ini bagi membekalkan petrol dan diesel kepada masyarakat di luar bandar di negeri ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata,  PCS ROVR merupakan satu model pembekalan stesen minyak yang dikawal selia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Katanya, PCS ROVR itu dikawal selia oleh KPDNHEP di bawah Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974 (Akta 144).

“Ianya sangat berguna untuk tempat-tempat yang tiada stesen minyak atau stesen minyak itu tidak dapat digunakan akibat daripada bencana alam seperti banjir dan tanah-runtuh.

“PCS ROVR Beaufort telah mula beroperasi sejak 26 November 2021 dan pada ketika ini ianya merupakan satu-satunya PCS ROVR berjenama PETRONAS yang sedang beroperasi di Sabah.

“Setakat ini perkhidmatan PCS ROVR tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat iaitu dengan jualan harian melebihi sasaran,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan PCS ROVR Beaufort di Kampung Limbawang disini hari ini.

Alexander berkata, terdapat dua buah PCS ROVR berjenama PETRONAS sedang dibina selain PCS ROVR Beaufort yang mana tapak pembinaannya telah diluluskan oleh KPDNHEP dan dijangka akan beroperasi pada tahun ini.

Katanya, selain PCS ROVR Beaufort di bawah PDB, terdapat empat lagi PCS ROVR jenama lain yang sedang beroperasi di negeri ini.

“Jumlah keseluruhan PCS ROVR yang beroperasi di Sabah pada ketika ini adalah sebanyak lima buah,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, PETRONAS sedang menimbang untuk menjadikan PCS ROVR sebagai model stesen minyak mini di masa akan datang dengan modal yang mampu milik bagi pengusaha dan peniaga kecil.

Katanya, selain itu, ia juga selain tidak memerlukan tanah yang luas untuk beroperasi dan bergantung kepada jumlah penduduk, kenderaan serta keperluan petrol di sesebuah lokaliti yang tidak mendapat perkhidmatan stesen minyak perkhidmatan penuh.

“KPDNHEP yang bertanggungjawab mengawal selia serta memajukan perdagangan dalam negeri dan pada masa sama menjaga kepentingan pengguna sentiasa mengalu-alukan dan menyokong inovasi dan cara baharu perniagaan yang boleh mendatangkan nilai tambah dan faedah kepada pengguna,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *