Pelabur, Pemain Industri Itali Cari Peluang Pelaburan Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Pelabur dan pemain industri dari Itali mula mencari peluang pelaburan di negeri ini selain komited untuk mempromosikan Sabah kepada pelabur lain.

Duta Itali ke Malaysia Massimo Rustico berkata, negara itu mempunyai banyak peluang pelaburan yang berpotensi untuk dibangunkan di negeri ini.

“Sabah merupakan sebuah negeri yang berpotensi untuk pelaburan para usahawan dan pemain industri.  Pada asasnya pelabur Itali telah melabur di Malaysia namun kebanyakan di Semenanjung.

“Ini merupakan masa yang terbaik untuk kita meneroka peluang pelaburan di Sabah dan saya teruja dengan penglibatan Kerajaan Negeri khususnya dalam usaha menarik pelabur asing untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu disini hari ini.

Massimo berkata, pihaknya akan mempromosikan Sabah kepada para pelabur dari Itali untuk melabur di Sabah.

Katanya, ini merupakan permulaan kepada para pelabur dari Itali dan pihaknya berharap agar usaha itu akan memberikan manfaat kepada pelbagai pihak.

Beliau turut memuji usaha Kerajaan Negeri dalam menganjurkan Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bagi meyakinkan pelabur untuk datang melabur ke Sabah.

Terdahulu, Tun Juhar juga menerima kunjungan hormat oleh Duta Republik Korea, Lee Chi-Beom bersama delegasi.

Dalam kunjungan tersebut, Lee berharap Sabah akan menerima para pelabur khususnya dalam bidang industri, selain aktiviti pelancongan.

Aktiviti pelancongan merupakan antara aktiviti ekonomi terbesar oleh Republik Korea ke Sabah di mana pada tahun 2019, sekitar 400,000 orang pelancong negara itu telah datang ke Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *