HomeUtamaTiga Projek Pembangunan Babit Pelaburan Lebih RM4.3 Bilion Dilaksanakan Mulai Tahun Ini

Tiga Projek Pembangunan Babit Pelaburan Lebih RM4.3 Bilion Dilaksanakan Mulai Tahun Ini

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Tiga projek pembangunan komersial berkaitan industri herba, tenaga solar dan pembinaan pusat komersial serta kediaman mewah dijangka akan dilaksanakan di Sabah mulai tahun ini.

Projek membabitkan pelaburan lebih RM4.3 bilion itu dilaksanakan secara usahasama di antara kerajaan Sabah melalui dua kementerian dan syarikat berkaitan kerjaaan negeri (GLC) dengan syarikat pelabur tempatan serta luar negara.

Usahasama pertama melalui MoU itu diusahakan menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Perikanan (MAF) Sabah dengan syarikat BorneoMed Sdn Bhd bagi pembangunan Ladang Herba Bersepadu (SIHP) dengan pelaburan bernilai RM350 juta.

MAF diwakili Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr Mariana Tinggal dan disaksikan Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd Yusof manakala BorneoMed diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Fauzi dan turut disaksikan Pengarah Eksekutif syarikat Francis Sina.

Pelaburan BorneoMed termasuklah dalam teknologi komersil seperti bahan penanaman, teknologi penanaman berketumpatan dan hasil tinggi, sistem Internet Perkara (IOT), pendigitan pertanian pintar, peralatan pemprosesan komersial, sistem pergudangan serta prasarana dan kemudahan lain.

Bagi MoU kedua, ia membabitkan pelaburan bagi membangunkan kilang memproses pasir silika dan menghasilkan panel solar dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 billion yang dimeterai antara Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID) Sabah dengan pelabur dari China, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd.

Projek pemprosesan pasir silika dan pembuatan panel solar itu yang akan dibina sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) selain akan membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daipadanya dikhaskan untuk pekerja tempatan dan dijangka mula beroperasi pada 2024.

MoU bagi pihak MID diwakili Setiausaha Tetapnya, Thomas Logijin dan turut disaksikan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof manakala SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd. diwakili oleh Presidennya Lin Hai dan Ketua Pegawai Eksekutif SBH Kibing, Yao Xin Xi selaku saksi.

Sementara itu, bagi MoU ketiga pula dimeterai di antara Yayasan Sabah selaku cabang pelaburan kerajaan negeri dengan syarikat Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi pembangunan Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Projek yang merangkumi pembinaan bangunan kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan dan hotel mewah untuk penginapan, peranginan serta aktiviti rekreasi itu meliputi kawasan laut seluas 12.14 hektar (30 ekar) bersebelahan SICC dan dijadual siap dalam tempoh 10 tahun.

Ia dijangka menjana kira-kira 1,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan, manakala 2,000 peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak.

Yayasan Sabah diwakili oleh Pengarah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar, disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd pula diwakili oleh pengarahnya, Jameson Pias, dan disaksikan oleh Pengurus Besar Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd Timmy Gan Ve Li.

Majlis MoU bagi ketiga-tiga projek pelaburan itu dimeterai hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 dengan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular