GRS Perlu Didaftarkan Secara Rasmi, Bantu Lonjak Ekonomi, Kemajuan Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU : Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah parti parti politik yang rasmi di negeri ini mampu menstabilkan politik selain membantu melonjakkan lagi perkembangan ekonomi dan kemajuan Sabah.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, usaha mendaftarkan GRS sebagai satu gabungan rasmi dan sah perlu dipercepatkan bagi membolehkan gerak kerja lebih tersusun dalam dilaksanakan untuk rakyat.

Katanya, Srikandi BERSATU Sabah turut menyokong penuh usaha mendaftarkan secara sah parti-parti di bawah GRS.

“Kita kena faham, untuk menarik pelabur luar ke Sabah, satu faktor paling penting ialah kestabilan kerajaan itu sendiri.

“Jika adanya pembentukan GRS secara sah dan rasmi maka kita yakin pelabur luar akan lebih mudah masuk ke negeri ini.

“Keadaan itu secara langsung mampu meningkatkan pendapatan serta kemajuan ekonomi di Sabah sekali gus membolehkan kita menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun bahawa mesyuarat secara tidak rasmi telah pun membincangkan mengenai usaha ke arah itu.

GRS dibentuk sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020 dan pada ini dianggotai oleh komponen Barisan Nasional seperti UMNO, MCA, PBRS serta komponen Perikatan Nasional iaitu STAR, SAPP, Bersatu manakala  PBS menyertai tanpa gabungan.

Mengulas lanjut, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berharap, usaha mendaftarkan GRS sebagai satu gabungan juga akan dapat menyelesaikan sesuatu isu atau melaksanakan perancangan pembangunan rakyat.

“Kita berharap dengan adanya GRS yang sah bukan sahaja melancarkan gerak kerja kerajaan tetapi juga gerak kerja parti yang akan bekerja mendekati rakyat serta menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

“Kita mahu gabungan ini menjadi satu gabungan yang kuat dan erat bekerja demi Sabah. Masa depan rakyat Sabah bergantung kepada kerajaan yang kuat dan stabil. Itu yang menjadi asas kepada kelancaran pentadbiran dan pembangunan rakyat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *