COVID-19 : Keputusan Penutupan Sekolah Untuk Lindungi Pelajar,Guru

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Keputusan kerajaan negeri menutup sekolah yang mencetuskan kluster COVID-19 semalam dengan serta merta adalah bagi melindungi lebih ramai pelajar dan guru daripada terkena jangkitan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia juga memastikan jangkitan tersebut dapat dibendung atau ‘localised’ dan tidak merebak ke tempat lain.

“Tindakan drastik ini juga adalah peringatan kepada semua pengurusan sekolah termasuk guru, murid dan ibu bapa agar mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas murid dan guru sekolah.

“Semua prosedur standard operasi (SOP ditempat kerja / sekolah hendaklah dikuatkuasakan secara ketat,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Semalam, beliau mengumumkan keputusan kerajaan untuk menutup serta merta sekolah yang terbabit dengan kluster COVID-19 di seluruh Sabah.

Sehingga kini sebanyak 10 buah sekolah diarah tutup kerana diisytiharkan kluster COVID-19, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan; SMK Ranau;  SMK Sandakan; SMK Kundasang;  SMK Tun Fuad Stephen Kiulu; SMK Balung, Tawau; SMK Keningau;. SMK Terusan Lahad Datu ; Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas Kota Belud dan SMK Tandek 2, Kota Marudu.

Sementara itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini berada di bawah paras 300 dengan mencatatkan 267 kes dimana ianya adalah 91 kes lebih rendah daripada semalam.

Katanya, lapan daerah mencatatkan kes harian dua angka, sama dengan jumlah daerah semalam tetapi Tuaran melompat ke tangga teratas dengan 55 kes baharu, 19 kes lebih tinggi daripada sebelumnya.

“Sandakan mencatatkan 53 kes (+12), Kota Kinabalu 53 kes (-13), Tawau 22 kes (-2) dan Penamapang 14 kes (-18).

“Cuma 16 kes baharu daripada kluster-kluster aktif direkodkan hari ini. Hampir 17 peratus atau 45 kes melibatkan kanak-kanak bawah usia 12 tahun yang belum layak menerima vaksin,” katanya.

Katanya, seramai 13 orang lagi pesakit adalah mereka yang belum divaksin walaupun layak memperolehinya.

“Sebanyak 264 daripada 267 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 serta satu kes masing-masing dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *