COVID-19 : Pelajar Asrama Cetus Kluster Di Kota Marudu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan satu kluster baharu melibatkan institusi pendidikan yang dilaporkan di daerah Kota Marudu membabitkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu 2.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Kebulian itu tercetus selepas kes indeks seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun yang tinggal di asrama sekolah berkenaan dilaporkan positif.

“Kes mula bergejala pada 2 Februari lalu dan didapati positif melalui saringan RTK Ag pada keesokkan.

“Kes telah dikuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai. Saringan keatas kontak rapat mendapati tujug orang lagi didapati positif menjadikan jumlah kes positif kumulatif sebanyak 16. Semua mereka yang positif telah dikuarantin dan diberikan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kes jangkitan COVID-19 di Sabah hari ini melepasi paras angka 2,000 iaitu sebanyak 2,069 kes dimana 469 kes lebih tinggi daripada semalam.

Katanya, sebanyak tujuh daerah mencatatkan kes tiga angka direkodkan hari ini iaitu Kota Kinabalu 395 kes, Sandakan 267 kes, Tuaran 192 kes, Papar 161 kes, Penampang 161 kes, Lahad Datu 137 kes dan Tawau 113 kes.

“Bilangan daerah yang mencatatkan kes dua angka kekal pada 15 daerah, manakala hanya empat daerah sahaja yang mencatatkan kes satu angka. Satu daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu.

“Sebanyak 15 daripada 27 daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dua hingga tiga angka. Antaranya, Papar (+100), Lahad Datu (+80), Ranau (+50), Tuaran (+42), Sipitang (+33), Kota Belud (+32), Telupid (+25), Kota Kinabalu (+24), Kuala Penyu (+24), Penampang (+23) dan Beaufort (+20).

“Hanya tiga daerah merekodkan penurunan kes baharu, tetapi masih mencatatkan kes harian yang agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, jumlah kes jangkitan sporadik terus bertambah hari ini kepada 1,075 atau 51.96 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

Katanya, kes-kes yang diperolehi melalui saringan bergejala yang tinggi ini satu petanda jelas betapa meluasnya virus COVID-19 telah merebakkan dalam komuniti.

“Sejumlah 2,056 (99.37 peratus) daripada 2,069 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lima kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, berdasarkan statistik, kadar kebolehjangkitan bagi Sabah ialah 1.54 yakni lebih tinggi daripada kadar kebangsaan yang hanya 1.32.

Katanya, ini bermakna kadar penularan COVID-19 di Sabah lebih tinggi dan akan mengakibatkan kadar peningkatan jumlah kes yang lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di negara ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *