HomeSukanPiala SMJ 2022 Mampu Tingkat Kualiti Persembahan, Kemampuan Pasukan Bertanding

Piala SMJ 2022 Mampu Tingkat Kualiti Persembahan, Kemampuan Pasukan Bertanding

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC mahu menjadikan kejohanan empat penjuru bagi merebut Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 sebagai platform untuk meningkatkan kualiti persembahan dan kemampuan sebelum saingan Liga Super 2022 bermula Mac ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, kejohanan itu juga akan dapat memberi pendedahan kepada para pemain skuad Badak disamping mencari keserasian bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Kejohanan ini merupakan julung kali diadakan di Sabah dimana tujuan kita adalah untuk mempersiapkan pasukan masing-masing.

“Saya harap semua pasukan yang terlibat dalam kejohanan ini akan dapat sesuatu untuk membina (pasukan) sebelum saingan Liga Malaysia bermula.  Saya juga percaya bukan sahaja untuk mendapatkan pendedahan tapi cuba untuk menjuarai Piala SMJ buat pertama kali,” katanya dalam sidang media di Stadium Likas disini pagi tadi.

Kejohanan empat penjuru yang akan berlangsung Stadium Likas bermula hari ini hingga 18 Februari ini turut disertai Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC dan Sarawak United FC.

Kim Swee berkata, Sabah FC telah berlatih selama enam minggu bagi membuat persiapan perlawanan pramusim dan mempunyai cukup pemain untuk beraksi pada kejohanan itu khususnya pada malam ini.

“Ada beberapa pemain masih mengalami kecederaan dan ada yang terpaksa direhatkan selepas mereka menjadi kontak rapat dimana kita harus mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

“Meskipun ada yang cedera dan menjadi kontak rapat selain empat pemain menyertai pasukan Harimau Muda, pemain kita cukup untuk beraksi terutama pada malam ini.  Selain itu, beberapa pemain import mungkin tidak akan diturunkan ekoran kecederaan yang dialami,” katanya.

Sementara itu, Jurulatih Sarawak United FC E.Elavarasan berkata, pihaknya akan menggunakan kejohanan itu sebagai asas bagi melihat seterusnya menilai prestasi pasukan dan pendekatan untuk menambah baik kualiti persembahan pemain.

Bagi Jurulatih KDA FC Aidil Shahrin Sahak, jemputan bagi mengikuti kejohanan empat penjuru itu sudah tentu menjadi satu peluang yang baik untuk pasukan mempelajari seterusnya memperbaiki corak permainan agar dapat memberi persembahan terbaik dalam persaingan liga musim ini.

Jurulatih Kelantan FC Rezal Zambery Yahya pula berkata kejohanan Piala SMJ akan menjadi ruang bagi menguji kemampuan pasukannya, dan beliau juga berharap para pemain akan dapat memberi komitmen serta persembahan terbaik dalam kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, Kapten Sabah FC Baddrol Bakhtiar berkata beliau dan para pemain Sabah FC akan melakukan sehabis baik dalam kejohanan empat penjuru itu bagi membolehkan jurulatih mereka melihat kombinasi antara satu sama lain seterusnya mengenali corak permainan masing-masing.

Piala SMJ akan menggunakan format “round-robin” di mana setiap pasukan akan bermain tiga perlawanan dan juara akan ditentukan menerusi mata, beza jaringan, jumlah jaringan dan “fair play”.

RELATED ARTICLES
Sukan

Pasukan futsal lelaki Sabah sasar juara pada Sukan MAKSAK 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya