Banyak negara gesa rakyat tinggalkan Ukraine

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

PARIS: Bimbang dengan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, banyak negara menggesa rakyat mereka meninggalkan negara itu selain mengurangkan bilangan kakitangan diplomatik.

Antara negara yang menggesa warganegara mereka meninggalkan Ukraine ialah Amerika Syarikat (AS), Jerman, Itali, Britain, Ireland, Belgium, Luxembourg, Belanda, Kanada, Norway, Estonia, Lithuania, Bulgaria, Slovenia, Australia, Jepun, Israel, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Perancis menasihatkan rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke kawasan sempadan di utara dan timur Ukraine, tetapi tidak menggesa rakyatnya untuk meninggalkan negara itu.

Romania, yang bersempadan dengan Ukraine mengesyorkan warganya mengelak perjalanan ke negara itu dan menilai semula keperluan untuk tinggal jika sudah berada di sana.

Moscow memanggil semula beberapa kakitangan diplomatiknya dan menyuarakan kebimbangan terhadap provokasi.

AS mengarahkan sebahagian besar kakitangan diplomatiknya di Kyiv untuk meninggalkan Ukraine sambil menegaskan serangan Russia boleh bermula pada bila-bila masa.

Bagaimanapun Washington akan mengekalkan kehadiran konsular di Lviv.

Kanada menutup kedutaannya di Kyiv buat sementara waktu, memindahkan operasi diplomatik ke Lviv, begitu juga Australia.

Kesatuan Eropah mengesyorkan kakitangan diplomatik yang tidak penting di Kyiv meninggalkan negara itu dan melakukan telekomunikasi dari luar negara.

Romania mengeluarkan kakitangan yang tidak penting dari kedutaannya di Kyiv, manakala Israel memindahkan keluarga diplomat dan kakitangan kedutaan.

Syarikat penerbangan Belanda KLM mengumumkan pada Sabtu bahawa ia menangguhkan penerbangannya ke Ukraine sehingga diberitahu kelak.

Bagaimanapun, Kementerian Infrastruktur Ukraine pada Ahad berkata negara itu akan membiarkan ruang udaranya terbuka walaupun terdapat kemungkinan pencerobohan Russia. – AFP

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *