SESB Akan Perkenal Kad Prabayar Elektrik Di Penempatan Setinggan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan memperkenalkan kaedah penggunaan kad prabayar untuk pengguna di kawasan penempatan setinggan yang layak bagi membanteras aktiviti penyambungan haram.

Ketua Pegawai Transformasi Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, kerajaan negeri Sabah pada dasarnya telah meluluskan cadangan SESB untuk menggunakan kaedah ini bagi bekalan elektrik di kawasan penempatan setinggan yang akan dikenalpasti.

Katanya, dengan menggunakan kaedah ini, bekalan elektrik yang diberikan kepada penduduk kawasan penempatan setinggan lebih memudahkan kerana pengguna hanya perlu menambah nilai kad tersebut mengikut kesesuaian penggunaan isi rumah setiap bulan.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan SESB sedang dalam proses memuktamadkan prosedur dan tatacara pembekalan ke kawasan penempatan setinggan berkenaan di seluruh negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.

Norhizami berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah merangkap Ketua Bahagian BERSATU Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan pada Sabtu yang menyatakan bahawa kerugian jutaan ringgit yang dialami oleh SESB ekoran kecurian elektrik disebabkan oleh karenah birokrasi pihak SESB sendiri.

“SESB memahami keperluan bekalan elektrik amat penting kepada setiap premis tetapi untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku, penyambungan secara haram amat ditegah dan kita perlu pastikan bekalan elektrik diperolehi secara sah mengikut prosedur sedia ada serta turut mematuhi aspek keselamatan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga,” katanya lagi.

Sementara itu, Ir Norhizami turut menegaskan bahawa SESB akan terus melaksanakan operasi membanteras aktiviti mencuri elektrik atau penyambungan haram dan beliau turut menyeru kerjasama yang jitu dan padu daripada semua pihak yang berkaitan.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata bahawa tindakan tidak bertanggungjawab mencuri elektrik dan mengusik meter bukan sahaja akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada SESB malah boleh mengundang bahaya seperti litar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran dan kemalangan elektrik.

Menurutnya aktiviti penyambungan haram bekalan elektrik ini juga sekali gus mengganggu kestabilan bekalan elektrik apabila permintaan melebihi kapasiti sehingga menyebabkan gangguan bekalan terhadap pengguna-pengguna yang sah serta menjejaskan aktiviti perniagaan dan keselesaan rakyat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *