COVID-19 : Kes Jangkitan Catat Peningkatan 78 Kes

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Kes jangkitan COVID-19 di Sabah merekodkan sedikit peningkatan sebanyak 78 kes menjadikan jumlah kumulatif harian adalah sebanyak 2,236 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut menjangkakan kes baharu akan berlegar sekitar angka kes hari ini.

Katanya, kes jangkitan dijangka akan meningkat dan akan turun sedikit dalam tempoh beberapa hari selain kadar kebolehjangkitan (RT) di Sabah semakin stabil iaitu pada 1.0.

“Tujuh daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu 781 kes, Tuaran 170 kes, Penampang 138 kes, Kota Belud 113 kes, Papar 110 kes, Keningau 108 kes dan Tawau 103 kes.

“Sebanyak 17 daerah pula mencatatkan kes dua angka, manakala tiga daerah lagi iaitu Kunak, Semporna dan Kalabakan mencatatkan kes satu angka sahaja.

“Sebanyak 2,217 atau 99.16 peratus daripada 2,236 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua, lapan kes dalam Kategori tiga, lapan kes dalam Kategori empat dan tiga  kes dalam Kategori lima,” katanya.

Masidi berkata, satu kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Kiulu yang berlokaliti di Tuaran diisytiharkan tamat hari ini oleh pihak JKNS.

Katanya, dengan itu, jumlah kluster-kluster yang masih aktif di Sabah berbaki 41 kluster.

Sementara itu, Masidi berkata, PICKids Sabah telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 51,049  kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.

Katanya, sebanyak 301 kes hari ini melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dengan 168 daripadanya merupakan kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin (bawah umur 5 tahun).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *