RM2.7 Juta Hasil Jualan PJKM Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak RM2.718 juta berjaya direkodkan menerusi Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilaksanakan sebanyak 97 kali di semua 25 kawasan Parlimen seluruh Sabah.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah Georgie Abas berkata, PJKM yang dilaksanakan sejak 2 Disember 2021 yang lalu itu turut dikunjungi pengunjung seramai 228,132 orang.

“Dari maklum balas yang diterima, rata-rata pengunjung menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala serta mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual di PJKM dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi sekarang ini.

“Pejabat KPDNHEP Sabah telah menggerakkan cawangan-cawangan kami di seluruh negeri dengan kerjasama agensi-agensi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta rakan strategik sektor peruncitan di Sabah,” katanya dalam kenyataan disini baru-baru ini.

Georgie berkata, PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah.

Katanya, ia termasuklah Ayam, Ikan, Telur, Sayur-sayuran, Minyak masak, Gula, Tepung, Beras, dan Barangan Keperluan Rumah terpilih.  

“Kita menggalakkan rakyat negeri Sabah untuk merebut peluang ini dalam merancang pembelian keperluan rumah dan seterusnya berjimat dari tawaran yang diberikan melalui PJKM di lokasi yang berdekatan dengan mereka.

“Selain itu, kita juga ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan menyeru agar rakyat  bersabar dan terus bersama kerajaan dalam waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dunia dan memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 280 orang Pegawai Penguat Kuasa dan Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP Negeri Sabah akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *