Tiga Pemain Import Mungkin Tidak Diturunkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Tiga pemain import Sabah FC selain beberapa pemain tempatan lain berkemungkinan tidak dapat diturunkan menjelang pertemuan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, dua pemain import Brazil, Neto Pessoa dan Jackson De Souza serta Taiki Kagayama, pemain import Jepun dan beberapa pemain lain masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan menjelang pertemuan pertama saingan Liga Super 2022.

“Kita masih mempunyai tempoh sebelum sepak mula Liga Super.  Paling penting kita harus melihat dari segi kecergasan mereka sebelum memikirkan sama ada mereka akan diturunkan atau sebaliknya.

“Kita tidak harus memikirkan hanya perlawanan pertama atau kedua, tetapi perlawanan-perlawanan seterusnya kerana tempoh liga agak panjang.

“Saya perlu memikirkan jangka masa panjang untuk pastikan semua pemain berada dalam tahap kecergasan terbaik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Kim Swee berkata, peluang bermain tiga perlawanan pertama di laman sendiri termasuk saingan Piala FA harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak buahnya.

“Sebagai tuan rumah ini merupakan kesempatan terbaik bagi memastikan Sabah FC bersedia mencipta kemenangan dalam pertemuan menentang Respect FC dari Ipoh, Perak untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA,” katanya.

Mengulas pertemuan pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC, Kim Swee berkata, Sabah FC sudah bersiap sedia melayani kunjungan mereka nanti.

Beliau turut mengingatkan kepada semua pemainnya agar tidak memandang rendah kemampuan Negeri Sembilan FC meskipun mereka baru dinaikkan ke Liga Super musim ini.

“Mereka mempunyai barisan pemain berkualiti sekali gus boleh menjadi ancaman menjelang pertemuan nanti,” katanya.

Begitu juga dengan pertemuan kedua pada 9 Mac 2022 menentang pasukan PJ City FC yang mempunyai gandingan pemain tempatan yang cukup berpengalaman.

“Sabah FC akan menentang Respect FC  yang bermain dalam liga M3 pada saingan Piala FA pada 12 Mac 2022 di Stadium Likas.

“Kita tidak memandang rendah saingan dalam Piala FA. Skuad badak harus bersiap sedia tidak kira menentang pasukan dari Liga Super, Liga Premier atau M3,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *