HomeIsu tempatanJambatan Gantung Tamparuli Kini 'Bercahaya'

Jambatan Gantung Tamparuli Kini ‘Bercahaya’

Read Time:1 Minute, 37 Second

TAMPARULI: Jambatan gantung Tamparuli yang sering menjadi tarikan pengunjung kini lebih ‘bercahaya’ pada waktu malam selepas lampu solar dipasang di jambatan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim berkata, pemasangan lampu solar itu juga menjadi satu lagi nilai tambah kepada kemudahan sedia di jambatan tersebut.

“Dengan adanya lampu solar ini, sudah tentu ianya akan lebih selamat untuk dikunjungi oleh orang awam khususnya pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan disini hari ini.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, dengan adanya lampu itu juga akan menambah seri dengan lukisan mural cantik bercorak tempatan (Linangkit dan Lelawangan).

Katanya, di kedua-dua hujung jambatan gantung berkenaan turut mempunyai tarikan tersendiri.

“Salah satunya adalah pertunjukan kebudayaan alat muzik berasaskan bambu, oleh kumpulan kebudayaan tempatan, sambil mengenakan busana tradisi Sabah.

“Sungai dan Bukit Ruhiang (Bukit Perahu), yang menjadi latar belakang jambatan gantung itu juga sudah tentu menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Katanya, di seberang berhampiran pasar kering Tamparuli pula, terdapat ‘The Wall Of Tamparuli’, yang menyaksikan lukisan mengenai legenda ‘Solungkoi’, seorang wanita yang telah dikorbankan ketika membina Jambatan Tamparuli (jambatan besi zaman British) yang lebih kukuh, juga menarik untuk dikunjungi.

Untuk rekod, jambatan itu dahulunya dalam keadaan gelap gelita dan belum selamat untuk dilalui pada waktu malam.

Namun atas usaha Jahid bersama kepimpinan di peringkat daerah, di samping mengambil kira keselamatan penduduk dan pengunjungnya, maka lampu tersebut akhirnya dipasang.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, berkata, selain lampu solar, turut dipasang adalah lampu berwarna-warni bagi menambah seri kawasan jambatan tersebut pada waktu malam.

Justeru, beliau memohon kepada semua penduduk dan pengunjung agar sentiasa menjaga kemudahan yang disediakan itu dengan baik, di samping menjaga kebersihan kawasan berkenaan, dan menjaga keselamatan diri semasa berkunjung pada waktu malam.

“Bagi penduduk di sini terutamanya para peniaga di sekitar jambatan gantung dan Pekan Tamparuli pula, sudah tentulah kehadiran pelancong ke jambatan itu nanti akan lebih memeriahkan lagi kawasan itu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular