COVID-19 : Penurunan Kes Belum Pada Fasa Penstabilan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU : Sabah terus merekodkan penurunan kes jangkitan COVID-19 apabila sebanyak 1,216 kes dilaporkan pada hari ini dengan penurunan sebanyak 19 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedudukan itu tidak semestinya mencerminkan bahawa negeri ini berada dalam fasa penstabilan.

Katanya, sebanyak 12 daerah daripada 27 daerah di negeri ini mencatatkan penurunan kes- kes baharu sedangkan 15 daerah lain merekodkan pertambahan.

“Peratusan jumlah kes simptomatik yang berpunca daripada jangkitan sporadik juga kekal tinggi pada 64.06 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Jumlah ini hampir dua pertiga daripada jumlah kes-kes baharu di Sabah,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, tiga daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu 284 kes, Penampang 137 kes dan Papar 110 kes.

Katanya, sebanyak 19 daerah lain mencatatkan kes dua angka dan tiga daerah mencatatkan  kes baharu satu angka manakala daerah Kunak dan Tongod tidak merekodkan sebarang kes baharu.

“Adalah diperhatikan terdapat pertambahan kes-kes baharu yang  agak banyak dibeberapa daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka.

“Antaranya ialah Keningau 75 kes (+31), Sandakan 49 kes (+24), Kota Belud 47 kes (+20) dan Putatan 39 kes (+25),” katanya.

Katanya, sebanyak 1,199 atau 98.60 peratus daripada 1,216 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua, tiga kes dalam Kategori tiga, 11 kes dalam Kategori empat  dan tiga kes dalam Kategori lima.

Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak tujuh kluster diisytiharkan tamat hari ini dimana enam daripadanya adalah kluster institusi pendidikan.

Katanya, kluster-kluster tersebut ialah Kluster Jalan Pertukangan (Sandakan), Kluster Teritipan (Kota Marudu), Kluster Lorong Api-Api (Kota Kinabalu), Kluster Jalan Sri Balung (Tawau), Kluster Jalan Pendidikan Ranau (Ranau) dan Kluster Sungai Batang Batu 10 (Sandakan).

“Satu lagi kluster yang ditamatkan ialah kluster berisiko tinggi iaitu Kluster Montenior (Beaufort).

“Baki jumlah kluster yang masih aktif diseluruh negeri Sabah ialah 31 kluster,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *