Pelaksanaan PPV Di Luar Premis Kesihatan Mudahkan Orang Ramai Terima Vaksin COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dibuka di beberapa buah lokasi termasuk sekolah, bangunan kerajaan dan kompleks membeli-belah dilihat memudahkan orang ramai hadir menerima vaksin COVID-19.

Pembukaan PPV diluar premis kesihatan itu juga turut mendapat reaksi positif dikalangan ibu bapa yang berpeluang membawa anak mereka mengambil vaksinasi menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Bagi seorang ibu, Marina Star, yang bertugas di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah berkata, PPV yang dibuka di perkarangan pejabatnya memudahkan beliau membawa dua orang anak kembarnya datang menerima vaksin COVID-19.

“Program yang dilaksanakan di pejabat ini amat memudahkan kami ibu bapa yang bekerja untuk membawa anak sekali ke pejabat seterusnya menerima vaksin selepas itu kami boleh pantau terus.

Marina memujuk anaknya untuk menerima vaksin COVID-19

“Pelaksanaan PPV seperti ini amat baik dan ianya perlu diperluaskan lagi ke pejabat lain agar semua boleh mendapatkan vaksinasi dengan lebih mudah dan tidak sesak,” katanya.

Marina berkata demikian ketika ditemui ketika membawa anak kembarnya Muhammad Mukmin Hanifdin dan Muhammad Muslim Hanifdin yang berusia 7 tahun menerima vaksinasi menerusi PICkids di Wisma Innoprise disini semalam.

Katanya, beliau turut mengajak ibu bapa untuk bersama membawa anak-anak menerima vaksin COVID-19 bagi membantu melawan jangkitan COVID-19.

Bagi seorang ibu Nursyafika Bandan Abdullah, beliau turut memuji inisiatif kerajaan untuk membuka PPV di luar premis kesihatan khususnya di sekolah.

“Pembukaan PPV di sekolah sangat bagus dan memuaskan kerana ibu bapa boleh membawa anak terus ke sekolah dengan selesa tanpa menunggu giliran yang lama,” katanya.

Sehingga semalam, seramai 72,009 orang atau 17.50 peratus kanak-kanak di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *