JENDELA Mampu Tingkat Capaian Internet Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Program Jalinan Digital Negara (JENDELA) mampu meningkatkan capaian liputan internet di Sabah khususnya ke kawasan luar bandar.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, program tersebut  meningkatkan capaian liputan internet secara meluas ke kawasan-kawasan luar bandar dan tiada kemudahan infrastruktur. 

“Pencapaian internet di Sabah bagi liputan mudah alih sebelum ini hanya 73 peratus namun kini telah mencapai 85 peratus di bawah program JENDELA, iaitu naik 12 peratus capaian dalam masa 15 bulan.

“Manakala, liputan capaian talian internet ke rumah (talian tetap) pula meningkat dari 26 peratus sebelum ini ke 42 peratus kini juga dalam tempoh yang sama,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu disini kelmarin.

Dr Fadhlullah berkata, pihaknya mensasarkan capaian internet di negeri ini akan mencapai 91 peratus pada penghujung tahun 2025.

Katanya, usaha pihaknya sekarang ialah membangunkan capaian di 48 daripada 138 kawasan luar bandar negeri ini yang langsung tiada infrastruktur untuk dimasukkan talian internet dan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun ini.

“Kita memohon agar kerajaan negeri dapat membantu melaksanakan perancangan-perancangan tersebut agar rakyat masyarakat di negeri ini dapat menikmati perkhidmatan telekomunikasi terbaik seperti juga negeri-negeri lain di Malaysia,”katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Bahagian Transformasi dan Penyelarasan Negeri MCMC, Roslan Mohamad, Pengarah, Pejabat MCMC Sabah, Izani Othman, Pengarah (Pembangunan), Pejabat Negeri Sabah, Reuben James Pailus dan Pegawai Khas MCMC, Mohd Irwan Mohamed.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *