Masyarakat diseru beri kerjasama bantu PDRM jaga keselamatan rakyat, kedaulatan negara

Read Time:1 Minute, 20 Second

TUARAN: Masyarakat diseru untuk terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mereka menjalankan tugasan menjaga keselamatan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, slogan `Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ perlu terus diadaptasikan bagi memperkukuhkan hubungan pihak polis dengan segenap lapisan masyarakat.

“Sama ada dari segi penyaluran maklumat, bantuan fizikal, bantuan aset, mahu pun sumbangan lain yang diperlukan dari semasa ke semasa, bagi membolehkan pihak polis menjalankan tugas dengan lebih cekap dan lebih bersemangat kerana rakyat sentiasa bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215, di Dewan Terbuka Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, disini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim.

Jahid berkata, banyak cabaran baharu dari segi pertambahan tugasan dihadapi pihak polis khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19 selain menjadi petugas barisan hadapan (frontliners).

“Pihak polis telah menjalankan tugasan dengan cemerlang dan tentu sekali bagi pihak kerajaan, kita sangat menghargainya.

“Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, saya turut mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak polis kerana telah memastikan keselamatan negeri dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara bagi membolehkan rakyat hidup dalam keadaan selesa, tenang dan damai,” katanya.

Beliau berharap anggota polis di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Daerah Tuaran dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negara dalam keadaan terpelihara daripada COVID-19 serta ancaman-ancaman lain ketika menjalankan tugasan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, membacakan perutusan Ketua Polis Negara sebelum menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat membantu Ibu Pejabat Polis  Daerah Tuaran selama ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.