Ibu Sebak Terima Ijazah Arwah Anak

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Tiada ungkapan mampu dilafazkan oleh seorang ibu apabila menerima ijazah Allahyarhamah anak kesayangan pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-22 di Dewan Canselor UMS.

Juliana Baru, 57, mewakili Allahyarhamah Nusratina Jalaludin, 24, yang meninggal dunia pada April 2021 di kediamannya di Sipitang.

Ibu arwah kelihatan sebak dan tidak dapat menahan air mata semasa menerima ijazah tersebut yang disampaikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Menurutnya, Allahyarhamah amat gembira ketika berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) pada tahun 2020.

“Masih terngiang-ngiang dalam ingatan saya, arwah sangat teruja untuk menghadiri hari konvokesyennya dan berhasrat ingin bergambar bersama-sama kami sekeluarga.

“Namun, malang tidak berbau, ajal terlebih dahulu menjemput Allahyarhamah.  Sebelum kejadian, arwah anak saya ada mengadu sakit kepala,” katanya ketika ditemui selepas menerima ijazah anaknya, di sini, semalam.

Ahli keluarga Allahyarhamah Nusratina mengambil gambar kenangan kenangan bersama skrol ijazah sarjana muda yang diterima. Turut kelihatan Juliana (depan lima kanan).

Juliana berkata, lebih memilukan apabila arwah anaknya meninggal dunia ketika berada dalam pangkuan ayahnya sambil disaksikan ahli keluarga yang lain.

“Kami masih bersedih dan rindu dengan arwah, tetapi kami juga berbangga dengan pencapaiannya,” katanya.

Juliana menyifatkan anak kelima dari lapan adik beradik itu sebagai seorang anak yang baik, ceria, peramah, taat kepada ibu bapa serta seorang pelajar yang cemerlang sejak di peringkat sekolah rendah.

“Arwah sentiasa mendengar nasihat dan tidak pernah melukakan hati kami. Arwah ingin berjaya dalam hidupnya dan membanggakan saya dan ayahnya.

“Namun Allah lebih sayangkan arwah, dan saya reda dengan semua ini,” katanya.

Pada istiadat konvosekyen itu, Juliana hadir ditemani suami dan anak-anaknya yang lain.

“Saya berterima kasih kepada pihak UMS kerana sudi menjemput kami sekeluarga, saya amat hargainya,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *