Komuniti Kiulu wujudkan produk rekreasi, pengembaraan baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 5 Second

TUARAN: Produk rekreasi dan pengembaraan baharu berjaya diwujudkan di Kiulu yang melibatkan tiga buah kampung bagi tujuan menjana pendapatan dan menarik lebih ramai pengunjung.

Produk aktiviti eko-pelancongan baharu ini dibuka hasil daripada projek  Community Adoption Programme Sabah yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan Yayasan RYTHM dan Good Shepherd Services, dengan penglibatan komuniti setempat.

Tiga produk itu adalah Camp Ratau Site di Kampung Ratau, laluan mendaki Sangod-Hill di Kampung Lokub, dan laluan mendaki Watu Kokoluton di Kampung Talantang.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Saba, Datuk Joniston Bangkuai berkata, produk eko-pelancongan baharu yang diusahakan oleh komuniti belia berpotensi menarik lebih ramai pengunjung dan peminat pengembaraan untuk meneroka Kiulu.

“Ini sekaligus menguatkan lagi kedudukan Kiulu sebagai hab aktiviti eko-pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini.

“Di pihak Kementerian saya dan juga Lembaga Pelancongan Sabah, kita sentiasa menyokong pembangunan pelancongan desa berasaskan komuniti, dan sentiasa mencari produk destinasi luar bandar baharu yang boleh diperkenalkan kepada pelancong, terutama apabila sempadan negara kita dibuka semula pada April 1,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian projek Community Adoption Programme Sabah dan pembukaan tiga eko-pelancongan baharu di Kampung Lokub disini, semalam.

Hadir sama, Ketua Yayasan RYTHM, Santhi Periasamy; Ahli Lembaga Pengarah Good Shepherd Services, Petrus Gimbad; Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit; presiden Federation of Rural Tourism Association Sabah, Walter Kandayon; dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Moginggow.

Projek komuniti tersebut bertujuan untuk memberi sokongan akademik dan memperkasa kemahiran belia di bidang pelancongan bagi  mengurangkan kemiskinan di kalangan komuniti luar bandar.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata program pembangunan belia sebegini sangat diperlukan untuk membuka mata golongan muda untuk berani mengambil peluang dan bekerjasama mengusahakan sesuatu di kampung mereka.

Katanya, mengusahakan aktiviti eko-pelancongan berasaskan komuniti boleh menjana pendapatan lumayan dan ia memerlukan penglibatan semua penduduk kampung untuk menjadikan tempat pelancongan mereka menarik, terbaik dan terkenal.

“Selain itu, pertanian juga merupakan satu potensi produk pelancongan yang boleh diketengahkan. Dengan kemahiran sedia ada, komuniti boleh merancakkan lagi ekonomi dengan mewujudkan aktiviti pelancongan eko-dan-agro.

“Oleh demikian, saya menyeru semua komuniti untuk memanfaatkan sebaik mungkin peluang latihan-latihan yang disediakan untuk memajukan diri dan sekaligus menaiktarafkan hidup seluruh penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, projek komuniti itu juga telah memanfaatkan 48 pelajar SK Lokub melalui sokongan akademik yang dijalankan oleh belia dari Kampung Ratau, Kampung Lokub, dan Kampung Talantang.

Dalam inisiatif tersebut, belia telah menjadi guru tuisyen bagi membimbing pelajar sekolah secara bersemuka, memandangkan pembelajaran di sekolah bertukar sepenuhnya kepada atas talian.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *