HomeUtamaMAFI laksana strategi tangani kesan perubahan iklim

MAFI laksana strategi tangani kesan perubahan iklim

Read Time:1 Minute, 34 Second

KUALA LUMPUR : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah dan sedang mengambil beberapa strategi bagi menangani kesan perubahan iklim yang menjadi cabaran utama sektor agromakanan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, cabaran itu perlu ditangani bagi memastikan sekuriti makanan negara dapat terus terjamin.

Katanya, antara strategi yang diambil adalah menggalakkan penggunaan kaedah teknologi berasaskan iklim dan automasi termasuk pendekatan pertanian pintar iklim yang menitik beratkan kaedah pertanian secara mampan di samping menitik beratkan aspek pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

“Selain itu, MAFI akan terus memperkukuh data sekuriti makanan untuk menilai dan memantau tahap sekuriti makanan termasuk kesan perubahan iklim terhadap sektor agromakanan.

“Dalam pada itu, MAFI juga akan turut mempergiatkan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam amalan pertanian alternatif,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan di Dewan Negara disini semalam.

Dr Ronald berkata, MAFI turut menjalankan penyelidikan berhubung keberkesanan dan kecekapan penyampaian teknologi sedia ada dan inovasi kaedah baharu melalui pendekatan Climate Smart Agriculture (CSA) bagi meminimumkan impak perubahan iklim terhadap tanaman buah-buahan.

Katanya, kesan perubahan ini semakin dirasai kebelakangan ini apabila sepanjang tempoh lima tahun daripada tahun 2017 sehingga 2021 sebanyak 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di Semenanjung Malaysia.

“Bagi tanaman agromakanan lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman kontan yang terkesan adalah seluas 1,944.57 hektar. Manakala, 9,336 hektar tanaman padi pula mengalami kerosakan akibat kemarau,”katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, dalam melaksanakan beberapa strategi bagi menangani cabaran perubahan iklim, MAFI turut membangunkan dasar baharu negara melalui Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 atau DAN 2.0 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Katanya, antara lain, sedang mempergiatkan aktiviti pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim bagi meminimumkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan melalui tiga ciri utama iaitu kemampanan, berdaya tahan dan berpacukan kemajuan teknologi.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular