Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat, (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah Azrul Ibrahim (tiga kanan) mewakili Ketua Menteri menyerahkan sumbangan kepada Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (PERKUM) yang diwakili oleh Penasihat PERKUM Datuk Seri Hisham Wahab di Menara Kinabalu hari ini.

Kerajaan Negeri Menaja OKU Penglihatan Sertai Program Keusahawanan Dalam Kemahiran Urut Terapi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 43 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menaja sejumlah RM12,962 kepada 29 Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya OKU penglihatan di negeri ini untuk menyertai program keusahawanan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Urut Terapi Tahap 3 anjuran Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan (PERKUM) Malaysia, di sini, hari ini.

Penasihat PERKUM Malaysia, Datuk Seri Hisham Wahab berkata, program ini adalah bertujuan merealisasikan impian semua peserta agar sijil kemahiran tahap 3 ini digunapakai sebagai panduan untuk diiktiraf sebagai peserta yang berkemahiran.

Penasihat PERKUM Malaysia, Datuk Seri Hisham Wahab.

“Saya berterima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sangat prihatin dan menyokong dalam melaksanakan program yang bermula hari ini.

“Ini adalah julung kali program ini diadakan di Sabah bertujuan untuk membimbing golongan OKU menjadi usahawan yang berjaya dan sama taraf dengan OKU di Semenanjung yang tidak ketinggalan walau sedikitpun.

“Saya berharap OKU di Sabah, apa yang paling penting sentiasa mendapat sokongan dan dorongan dari Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Urut Terapi di Pusat Urut Tradisional (Cacat Penglihatan) di Plaza Kingfisher, Likas hari ini.

Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat, (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah Azrul Ibrahim mewakili Ketua Menteri menyerahkan sumbangan kepada PERKUM yang diwakili oleh Penasihat PERKUM Datuk Seri Hisham Wahab di Menara Kinabalu hari ini.

Sementara itu, Presiden PERKUM Malaysia Mohammad Faiz Asangku Abdullah, 47, berkata, beliau sebagai anak jati Sabah ingin menabur bakti dan berjasa kepada golongan OKU penglihatan di negeri ini dengan cara melaksanakan satu program keusahawanan untuk mereka.

Presiden PERKUM Malaysia, Mohammad Faiz Asangku Abdullah.

“Sekiranya ada kursus-kursus atau latihan yang diadakan di Semenanjung mereka terpaksa berfikir 10 kali untuk pergi ke sana di atas kekangan kos, jadi mengambil iktibar dari kepayahan dan kesusahan rakan-rakan di negeri ini, PERKUM mengambil keputusan untuk membuka satu pusat, di mana pusat ini digunakan untuk bimbingan dan latihan kepada peserta-peserta juru urut yang berada di Sabah.

“Bagaimanapun bukan sahaja kemahiran dalam bidang urut, PERKUM juga mengambil inisiatif jika ada usahawan-usahawan ingin membuka kedai runcit, mini market atau apa sahaja pekerjaan yang dibangunkan oleh OKU penglihatan itu sendiri, jikalau ingin mendapat bantuan atau surat sokongan, pertubuhan sanggup bersama-sama untuk projek-projek yang anda lakukan,” kata Faiz.

Faiz yang juga seorang OKU penglihatan berkata, golongan seperti mereka adalah terhad dalam memilih pekerjaan jadi inisiatif seperti ini adalah sangat baik untuk menonjolkan golongan ini ke arah menjadikan golongan OKU berkualiti dan berdayasaing di luar sana.

“Harapan saya khususnya kepada Kerajaan Negeri agar memberikan ruang atau tempat untuk OKU penglihatan menyewa di kompleks-kompleks milik kerajaan untuk mereka menjalankan perniagaan mereka,”katanya.

Hisham menerima borang penyertaan dari salah seorang peserta.
Hisham dan Ustaz Zaki mendapatkan khidmat urutan kaki.
Hisham menerima borang penyertaan dari salah seorang peserta.
Peerta Sarail Akil.

Beliau juga menyarankan kepada kerajaan agar menempatkan seniman-seniman jalanan (buskers) OKU penglihatan di kawasan yang strategik, di mana tumpuan orang ramai dan pelancong untuk mereka membuat persembahan oleh kerana mereka (OKU penglihatan) terpaksa bersaing dengan buskers yang celik (tidak buta).

Dalam pada itu, salah seorang peserta, Sarail Akil, 45, dari Tuaran turut berterima kasih kepada PERKUM dan kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada mereka (OKU penglihatan) menyertai bengkel SKM tahap 3 itu dan kali ini diadakan di Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *