COVID-19 : Hati-hati berkunjung di tempat sesak – Masidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Rakyat di Sabah diingatkan untuk sentiasa berhati-hati ketika mengunjungi Bazar Ramadan dan pusat membeli-belah bagi mengelak jangkitan sporadik COVID-19 yang kembali meningkat pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, peratusan jangkitan sporadik kembali meningkat hari ini kepada 55 peratus setelah berada sekitar 43 peratus semalam.

Katanya, peratusan jangkitan sporadik yang tinggi bermakna risiko jangkitan juga akan bertambah tinggi khususnya di tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai.

“Tempat-tempat awam yang perlu kita berhati-hati ialah bazar Ramadan dan pusat-pusat membeli-belah.

“Ramai pengunjung akan berpusu-pusu ke tempat-tempat sesak ini untuk membeli belah. Perlulah sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, Sabah meneruskan trend penurunan dengan angka jangkitan baharu sebanyak 140 kes iaitu menurun sebanyak 27 kes berbanding semalam.

Katanya, secara keseluruhan kedudukan di hampir semua daerah semakin bertambah baik walaupun terdapat  perubahan turun naik jumlah kes baharu setiap hari.

“Hari ini cuma empat daerah yang mencatat kes baharu dua angka, iaitu, Kota Kinabalu (37), Tuaran (21), Tenom (13) dan Penampang (12).

“Sebanyak 17 daerah mencatatkan kes baharu satu angka dimana 16 daripada daerah-daerah tersebut hanya merekodkan kes baharu antara satu hingga lima kes sahaja.

“Enam daerah, Kinabatangan, Nabawan, Keningau, Tongod, Kalabakan dan Putatan tidak mencatat sebarang kes baharu dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sebanyak 135 kes atau 96.43 peratus daripada 140 kes pada hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua, empat kes dalam Kategori empat dan satu kes dalam Kategori lima. Tidak ada kes baharu direkodkan dalam Kategori tiga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *