Lebih 60,000 pengunjung disasarkan datang ke Kiulu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KIULU : Persatuan Pelancongan Kiulu yakin akan mampu menarik kira-kira 60,000 pengunjung ke daerah itu pada tahun ini berikutan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.

Presidennya Mejin Monginggow berkata, pada tahun lalu pihaknya hanya mensasarkan seramai lebih kurang 40,000 pengunjung datang ke Kiulu khususnya melibatkan pelancong tempatan.

“Bagi tahun 2021, persatuan menganggarkan lebih kurang 40,000 ketibaan pengunjung dan pelancong khususnya dalam negara walaupun industri pelancongan luar bandar menghadapi banyak cabaran.

“Apabila sempadan negara dibuka semula pada 1 April lalu, sasaran kami di Kiulu untuk tahun ini tidak terlalu tinggi disebabkan aktiviti pelancongan baru bermula sepenuhnya. Bagaimanapun, kami yakin pelancong antarabangsa akan kembali melawat Kiulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai yang melawat ke tapak eko-pelancongan Pusat Rekreasi Bambangan Lama (PRBL).

Dalam lawatan itu Joniston  turut merasmikan bangunan pejabat pendaftaran PRBL dan trail anak tangga batu Tukad Purak Pakou yang baru dinaik taraf.

Mejin berkata, PRBL adalah antara 63 pengusaha pelancongan berasaskan komuniti dan pengusaha persendirian di Kiulu yang telah mula beroperasi dalam persediaan mereka untuk menerima pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, daripada 63 pengusaha yang telah membuka tapak pelancongan mereka, lima daripadanya adalah pengusaha baharu.

“Adalah menjadi harapan persatuan agar Kiulu terus menjadi tumpuan pelancong. Selain itu persatuan juga berharap agar kementerian pelancongan akan mengadakan ‘roadshow’ supaya pelancong mendapat maklumat tentang produk yang ada di Kiulu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *