HomeIsu tempatanPengguna Perlu Berhati-hati Ketika Menerima Panggilan Telefon Daripada 'Scammer'

Pengguna Perlu Berhati-hati Ketika Menerima Panggilan Telefon Daripada ‘Scammer’

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan yang dilakukan oleh sindiket scammer khususnya yang menggunakan nama penguat kuasa seperti polis, kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan berkata, akhir-akhir ini ramai yang mudah percaya dan akhirnya terperangkap dengan panggilan-panggilan palsu yang dibuat oleh kumpulan penipuan.

Menurut beliau, orang ramai perlu faham bahawa penguat kuasa tidak membuat siasatan melalui panggilan telefon, sebaliknya meminta individu berkenaan hadir ke balai polis atau pejabat LHDN.

“Mereka ini membuat panggilan dengan membuat pelbagai dakwaan seperti ada cukai tertunggak, nama digunakan untuk pinjaman bank, akaun bank diguna untuk aktiviti dadah dan pengubahan wang haram.

“Jangan sesekali percaya dengan panggilan seperti ini sebaliknya tamatkan perbualan dan telefon ke balai berdekatan atau bank yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada mana-mana pihak boleh meminta butiran akaun bank, nombor pin dan apa sahaja maklumat berkaitan perbankan daripada orang ramai melalui panggilan telefon atau teks mesej.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata, pengguna juga  perlu bijak mengenal pasti peniaga yang diyakini menerusi platform online sebelum memuktamadkan sebarang pembelian.

“Pembelian depan mata pun ramai yang tertipu, inikan pula online, kedai pun tak ada. Jadi macam mana?

“Di sebalik obses ada segelintir pengguna membeli menggunakan platform online, mereka (pengguna) perlu lebih berhati-hati dan berani menggunakan hak pengguna sekiranya tertipu,” katanya.

David berkata, antara penipuan jual beli online yang sering berlaku termasuklah mutu kualiti produk yang tidak sama seperti diiklankan, selain pengguna tidak menerima barangan dijanjikan selepas selesai proses transaksi wang.

“Budaya seperti ini yang kita risaukan. Asalkan tak kena tangkap kita lihat makin ramai yang makin berani menjadi penipu. Ada juga yang dikesan hanya mula menipu selepas berjaya meyakinkan pelanggan pada mulanya. Ini sesuatu yang tidak betul.

“Jadi, kita harus mengamalkan etika dan integriti yang tinggi dalam kalangan masyarakat bagi menghindari kejadian sebegini,” katanya.

Menurut David pengguna juga dinasihatkan agar memanfaatkan hak masing-masing jika diperdaya peniaga online termasuk mendesak pemulangan bayaran semula (refund) atau merujuk kes kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

35 pelajar TARUMT hadir sebagai pemerhati sidang DUN Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya