HomeIsu tempatanBSMM terima empat unit kenderaan, penuhi keperluan logistik lebih baik

BSMM terima empat unit kenderaan, penuhi keperluan logistik lebih baik

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU : Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Sabah menerima empat unit kenderaan baharu bagi memenuhi keperluan logistik yang lebih baik bagi memastikan khidmat dapat diberikan sebaiknya ketika bencana.

Pengerusi BSMM Negeri Sabah, Datuk Asnan Yunus Chung berkata, ia merupakan sumbangan daripada International Federation of The Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) dan Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah.

“BSMM merupakan ‘auxillary to government’ yang menyokong mana-mana agensi kerajaan yang memerlukan bantuan.

“Semasa pandemik COVID-19, pelbagai bantuan seperti agihan bakul makanan kepada golongan B40, penghantaran makanan ke pusat kuarantin dan vaksinasi di kawasan pedalaman Sabah berjaya dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu disini hari ini.

Asnan berkata, BSMM turut menyedari keperluan untuk mempunyai logistik yang lebih baik bagi memastikan khidmat yang lebih mantap dapat diberikan semasa dan selepas berlakunya bencana.

Katanya, kekangan logistik disebabkan kenderaan yang dimiliki persatuan telah berusia lebih 20 tahun dan adakalanya kenderaan bermasalah serta tidak dapat beroperasi dengan baik.

“Tambahan lagi, dengan keluasan Sabah serta sesetengah tempat berisiko mengalami situasi seperti banjir, kesiapsiagaan menghadapi bencana adalah perkara yang perlu dititikberatkan.

“Oleh yang demikian, pada tahun 2020 BSMM telah membuat permohonan mendapatkan logistik baru daripada International Federation of The Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC) dan Pertubuhan Akinabalu, hasilnya berjaya mendapatkan empat unit kenderaan iaitu Nissan Navara 4×4, Lori Hino, Ambulans Toyota Hilux 4×4 dan Ambulans Gold Dragon,” katanya.

Katanya, dua unit ambulans akan menjadi perintis Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulans Hotspot dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berpangkalan di Hospital Queen Elizabeth I dan akan dilancarkan pada 12 April 2022.

“Kita pernah berjaya mengumpul lebih 18,000 pain darah dua tahun lepas dan oleh itu ambulans yang diterima juga akan digunakan untuk menjalankan program tersebut di seluruh Sabah kerana kita sedia maklum bahawa hospital selalu mengalami kekurangan bekalan darah,” katanya.

Terdahulu, upacara ringkas penyerahan ‘mock key’  kenderaan oleh penyumbang (IFRC dan Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah) yang disempurnakan oleh Tun Juhar yang juga merupakan Penaung Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah di perkarangan Istana Seri Kinabalu.

Turut hadir dalam acara tersebut Penasihat Pertubuhan Kebajikan Akinabalu Sabah, Datuk Yeo Hock Ching dan Charles Wembley Mogindol dari IFRC.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya