Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor dan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bertukar dokumen semasa majlis itu.

Bio Fluid Sdn Bhd Syarikat Tempatan Hasilkan Ubat Anti Diabetik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 39 Second

KUALA LUMPUR : Bio Fluid Sdn Bhd (Bio Fluid) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOA) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menghasilkan ubat diabetes oral yang baharu sekaligus memberikan harapan kepada pesakitnya. 
 
Majlis bersejarah tersebut telah menjadi titik permulaan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan ubat oral yang bersifat anti diabetik, menggunakan formula yang dipatenkan sebagai Ganoringa©. 
 
Kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada usaha UiTM melalui Pusat Perniagaan Inovasi dan Pengkormersilan Teknologi (BiTCOM) untuk mempercepatkan hasil  penemuan penting daripada penyelidikan dan inovasi untuk manfaat negara dan masyarakat global. 


Majlis itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor bersama Pengarah BiTCOM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr Syed Shatir Asghrar Syed Hassan. 
 
Kerjasama ini juga dilihat satu usaha pengkomersialan hasil inovasi dan produk penyelidikan UiTM. Nilai keseluruhan Perlesenan Perjanjian adalah sebanyak RM1.06 juta, di mana projek yang dimeterai ini adalah bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun. 
 
Projek kolaboratif bersama Bio Fluid tersebut bernilai RM2 juta dan dijangka berada di pasaran tempatan dan antarabangsa pada penghujung tahun ini.
 
Sejak tahun 2019, Bio Fluid dengan usahasama UiTM telah berjaya menghasilkan produk penjagaan kesihatan menerusi formulasi Bio Extreem menggunakan teknologi nano dan nutraseutikal yang dihasilkan daripada Minyak Kelapa Dara untuk memperoleh komponen aktifnya (Asid Laurik). 
 
Hasil penyelidikan tersebut dilihat mempunyai potensi tinggi untuk menghasilkan ubat diabetes yang mampu memberi kesan lebih efektif untuk rawatan berbanding ubat diabetes biasa di pasaran. Ia juga mampu memperbaiki hyperglycaemia dan hyperlipidemia tanpa menjejaskan struktur dan fungsi tisu. 
 
Ganoringa© juga akan memberikan kesan positif dengan meningkatkan sistem imun pengguna, sekaligus menaikkan kualiti hidup pesakit diabetes dan mengekalkan tisu homeostasis secara semulajadi, termasuk membaiki tisu yang rosak akibat penyakit ini. 
 
Pengarah dan Pengasas Bersama Bio Fluid Sdn Bhd, Rohaizad Abdul Raoof berkata, penghasilan ubat tersebut amat penting sejajar dengan perkembangan terkini yang menyaksikan bilangan pesakit diabetes semakin meningkat termasuk di Malaysia.

“Kami berterima kasih kepada pihak UiTM atas sokongan mereka terhadap syarikat Bio Fluid. Selaku syarikat tempatan, kami berbangga untuk memperkenalkan rangkaian pertama produk kami yang dirumus dengan formula yang dipatenkan sebagai Bio Extreem kini berada di pasaran tempatan dan Timur Tengah. 
 
“Kini kami yakin untuk terus menghasilkan produk farmaseutikal yang terbaik, dengan formula Ganoringa© berdasarkan permintaan pasaran. Ini adalah kerana Malaysia berada di tempat pertama sebagai negara yang mempunyai bilangan diabetes yang tinggi di Asia dan secara global di tangga ke-3 selepas Qatar dan Guam. Kami optimistik bahawa hasil penyelidikan ini adalah pilihan rawatan yang selamat dan holistik bagi komplikasi penyakit diabetes. Ganoringa© juga mempunyai kesan untuk mengalakkan sistem imun (immune booster) dan anti-penuaan (anti-ageing),” katanya.
 
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Bio Fluid, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengalu-alukan kerjasama tersebut  dalam menghasilkan produk yang relevan dengan permintaan semasa akibat pandemik Covid-19. 
 
“Kami berharap untuk melihat lebih banyak projek R&D yang mempunyai daya saing daripada penyelidik Malaysia sekaligus kekal relevan dengan keadaan semasa. Bio Fluid sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk yang berimpak tinggi, berasaskan bahan semulajadi yang lebih selamat kepada pengguna yang mementingkan kesihatan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *