KKM cadang laksana kajian keberkesanan Paxlovid 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

Cyberjaya – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang menjalankan kajian klinikal terhadap keberkesanan penggunaan ubat antiviral Paxlovid dalam kalangan pesakit COVID-19 tempatan.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr Yasmin Mohamed Gani, berkata kajian itu dilakukan supaya satu data tempatan diperoleh dan menjadi sokongan tambahan hasil kajian keberkesanan sedia ada ubat terbabit.

“Kita bercadang mengendalikan satu kajian supaya kita ada satu data tempatan yang boleh menyokong lebih banyak lagi kajian keberkesanan ubat ini.

“Setakat ini masih lagi peringkat awal perbincangan, penggunaan ubat ini (dalam negara) juga belum lagi dimulakan, sedang diedarkan dengan pantas dengan jangkaan semua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan hospital kerajaan selesai terima dalam satu atau dua minggu lagi,” katanya menerusi program Awani Pagi, hari ini.

Malaysia menerima sebanyak 48,000 stok ubat antiviral, Paxlovid keluaran Pfizer, bagi merawat penyakit COVID-19 menerusi penghantaran fasa pertama pada 9 April lalu.

Keutamaan ubat antiviral ini dalam rawatan jangkitan COVID-19 akan diberikan kepada pesakit warga emas, pesakit memiliki pelbagai komorbid dan masalah sistem imun selain kepada individu berumur 18 tahun ke atas termasuk tidak memerlukan terapi oksigen.

Selain itu Dr Yasmin berkata, menerusi data sedia ada diperoleh KKM antara kesan sampingan pengambilan Paxlovid adalah sakit badan, muntah, cirit, tekanan darah naik sedikit dan perubahan pada daya rasa.

“Ini simptom biasa selepas ambil ubat ini dan Paxlovid juga ada banyak interaksi dengan ubat lain yang pesakit sedang makan. Jadi Paxlovid bukan ubat yang kita boleh ambil macm itu sahaja, mesti bincang dengan doktor terlebih dahulu,” katanya.

Tambah beliau, kajian juga mendapati Paxlovid bagaimanapun tidak sesuai diambil ibu mengandung atau mereka yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang.

“Memang setakat ini belum ada ujian terhadap ibu mengandung, cuma ujian kebiasaan menggunakan tikus yang mana didapati fetus pada haiwan itu mengalami kekurangan berat, itu sahaja bukti yang ada setakat ini , jadi Paxlovid tidak akan diberi kepada ibu mengandung,” katanya.

Dr Yasmin berkata, KKM juga akan tingkatkan penyaluran informasi supaya lebih banyak maklumat diperoleh orang awam berhubung Paxlovid.

Paxlovid yang diluluskan Pihak Berkuasa Kawlaan Dadah (PBKD) pada 3 Mac lalu meluluskan pendaftaran secara bersyarat sebagai ubat antiviral bagi rawatan COVID-19, yang mengandungi dua bahan aktif.

Bahan aktif itu ialah PF07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam sediaan dua tablet yang berbeza. Ia bertindak untuk mengurangkan kemampuan replikasi SARS-Cov-2 seterusnya membolehkan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan.

Jumlah kuantiti keseluruhan Paxlovid yang diperoleh oleh KKM adalah sebanyak 104,700 kotak, dengan setiap pesakit memerlukan satu kotak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *