22 jenis barangan ditetapkan dalam SHMMP-HRP 2022

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan sebanyak 22 jenis barangan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP-HRP) 2022 yang berkuatkuasa semalam sehingga 6 Mei depan.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, skim itu akan melibatkan kategori hasil laut, barangan kering,sayuran dan daging.

Katanya, SHMMP-HRP merupakan komitmen KPDNHEP untuk memastikan Keluarga Malaysia dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (COL) ketika ini.

“Ini adalah kerana permintaan ke atas barangan tertentu dijangka meningkat menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang bakal disambut pada 3 Mei ini.

“Kementerian juga turut melaksanakan penentuan harga maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari lalu dan sedang berkuatkuasa sehingga 5 Jun depan

“Ia sebagai langkah untuk menstabilkan harga ayam dan telur ayam serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Georgie berkata, antara barangan yang terlibat dalam SHMMP-HRP 2022 ini termasuklah daging lembu tempatan; daging lembu import; daging kerbau import; ikan kembung; ikan mabung; ikan selayang; ; ikan aya/ atau tongkol; ikan Demudok, Sagai,  Cermin dan Cupak.

Selain itu katanya, turut tersenarai dalam skim ini Tomato;  Cili Merah;  Kubis Bulat Import; Kacang Panjang;  Terung Panjang;  Timun; Halia Tua Import; Bawang Merah Besar Import;  Bawang Besar Holland dan Bawang putih (China).

“Selain itu, turut tersenarai Ubi Kentang Import (China); Cili Kering; Kacang Tanah; Kelapa Biji dan Kelapa Parut.

“Bagi penentuan harga ayam dan telur ayam pula, ia melibatkan ayam hidup; Ayam standard; Ayam super; Telur ayam gred A; Telur ayam gred B;dan Telur ayam gred C,”katanya.

Sementara itu, Georgie berkata,seramai hampir 200 orang Pegawai Penguat Kuasa dan 85 orang Pegawai Pemantau Harga KPDNHEP di seluruh negeri Sabah akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah.

Katanya, ia termasuklah pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini.

“Pada hari ini (semam) iaitu di hari pertama SHMMP HRP 2022 berkuat kuasa, sebanyak 140 premis yang meliputi 137 peruncit dan tiga pemborong telah diperiksa di seluruh cawangan di Sabah.

“Hasil pemeriksaan tersebut mendapati kesemua 140 premis yang diperiksa mematuhi penggunaan tanda harga berwarna merah jambu dan harga kawalan yang telah ditetapkan ke atas 19 jenis barang kawalan yang terlibat di negeri ini,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *