HomeIsu tempatanZon Maritim Semporna Gagalkan Cubaan Seludup Masuk Rokok Putih Tanpa Cukai

Zon Maritim Semporna Gagalkan Cubaan Seludup Masuk Rokok Putih Tanpa Cukai

Read Time:1 Minute, 11 Second

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya menggagalkan cubaan empat bot laju disyaki menyeludup masuk rokok putih di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika Timur Pulau Larapan, Semporna sekitar jam 5.30 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, hasil daripada maklumat risikan, Zon Maritim Semporna mengatur gerak bot ronda ke lokasi dan berjaya mengesan serta menjumpai empat bot enjin sangkut ditinggalkan tanpa pemandu atau pemilik yang dipercayai telah melarikan diri setelah menyedari kehadiran penguat kuasa.

“Pemeriksaan mendapati kesemua empat bot tidak memiliki nombor pendaftaran dan juga turut menemui 380 karton rokok putih tanpa cukai yang dipercayai diseludup masuk ke Semporna untuk pasaran tempatan.

“Kesemua rokok, bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM45,000 dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup masuk rokok putih tanpa cukai. Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini.

Menurut Norrimi, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri Sabah melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan bot lakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular