Arthur sedia dua helikopter, bantu guru di pedalaman balik bertugas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KENINGAU :  Dua buah helikopter disediakan bagi menghantar guru-guru khususnya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengaraan dan sekitar Mukim Tatalaan di sini untuk pulang ke sekolah bagi meneruskan sesi persekolahan yang bermula esok.

Perkhidmatan itu disediakan atas inisiatif Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup yang disewa khas bagi membawa lapan orang guru balik ke kawasan tersebut tanpa melalui jalan dan sungai yang terputus akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Arthur berkata, perjalanan ke kawasan itu akan mengambil masa tiga hingga enam jam bergantung kepada keadaan cuaca.

Namun begitu katanya, banjir yang luar biasa baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan infrastruktur seperti jalan penghubung serta jambatan kereta dan mengakibatkan para guru terpaksa berjalan kaki sehingga 18 jam untuk sampai ke kawasan tersebut.

“Mengenai peruntukan kecemasan yang telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi tujuan pembaikan infrastuktur yang rosak akibat bencana banjir, saya dimaklumkan pegawai-pegawai teknikal dari Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU-JPM) dan Pejabat Daerah Nabawan telah membuat lawatan tapak ke lokasi- lokasi yang berkaitan bagi penelitian lanjut.

“Selain itu, untuk makluman terkini, pembinaan jambatan gantung untuk SK Nangkawangan dan SK Layon telah pun dimulakan sejak beberapa hari yang lalu walaupun pegawai dan pekerja menghadapi kekangan cuti perayaan,” katanya.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya menjangkakan kerja-kerja pembaikan yang lain akan menyusul dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya juga memberi komitmen akan mempercepatkan kerja-kerja pembaikan yang diperlukan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan.

Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Pensiangan, Laini Agindang merakamkan penghargaan di atas bantuan yang diberikan oleh Arthur bagi memudahkan perjalanan para guru untuk pulang bertugas di kawasan tersebut.

Beliau berharap bantuan ini akan menjadi pendorong kepada warga pendidik melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas di samping meningkatkan motivasi guru-guru untuk terus berkhidmat di kawasan pedalaman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *