Bruno (tengah) bersama pereka fesyen lain yang memenangi pertandingan Garung Olumis sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2022 pada Sabtu.

Bruno Juara Reka Fesyen Pakaian Pertandingan Garung Olumis Pesta Kaamatan Ranau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 5 Second

RANAU: Pereka fesyen tempatan, Bruno George Sadiwa muncul juara Pertandingan Garung Olumis yang diadakan pada Malam Gala (Sodop Huminodun) Pesta Kaamatan Peringkat Daerah 2022 di sini, Sabtu lalu.

Dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau itu, Bruno memenangi hadiah utama RM2,000 selepas rekaannya yang dipakai di pentas peragaan oleh naib juara Unduk Ngadau Ranau 2021, Angela Mujini, dipilih sebagai yang terbaik pada malam itu.

Pemenang kedua dengan wang tunai RM1,500, menjadi milik Andrew Joseph dengan rekaannya dipakai oleh peserta pertandingan Unduk Ngadau tahun ini, Mary Joy Vitus.

Pemenang ketiga, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, menjadi milik Nazatul Hafikah dengan pakaian rekaannya yang dipakai oleh peserta pertandingan Unduk Ngadau tahun ini, Jenell Albert Joseph.

Pemenang lain semasa Sodop Huminodun Ranau 2022 ialah peserta Unduk Ngadau Nastasia Lois yang diundi sebagai Miss Favourite, Jenell yang diundi sebagai Miss Best Catwalk, dan Deedee Cassandra Dallius yang diundi sebagai Miss Gala Night.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ll merangkap Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi semua kategori yang dipertandingkan pada malam itu.

Sementara itu,dalam ucapannya, beliau berkata, “Penganjuran majlis sebegini sedikit sebanyak turut menyumbang kepada kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat kita. Amalan ini perlu dibudayakan agar adat budaya warisan turun-temurun terus terpelihara.

“Tahniah kepada semua jawatankuasa pelaksana yang telah menganjurkan program ini. Acara Garung Olumis membuka peluang kepada semua pereka tempatan untuk mempamerkan bakat dan kreativiti mereka dalam bidang rekaan fesyen.

“Semoga pada masa akan datang program sebegini akan terus dilaksanakan dengan mengekalkan adat budaya dan warisan Dusun Liwan Ranau. Semoga Kaamatan pada tahun ini akan terus mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyaraka tkita di sini,” katanya.

Pertandingan Garung Olumis dan Sodo Huminodun diadakan sempena dengan Pertandingan Unduk Ngadau iaitu antara acara utama dalam Pesta Kaamatan peringkat Daerah tahun ini.

Dalam acara itu, turut diadakan penampilan istimewa bekas Unduk Ngadau dari Ranau menyusuri kenangan dan persembahan Johan Sugandoi Ranau 2022, Ferona Paimin.

Selain itu, beberapa acara menarik lain diketengahkan antaranya segmen bersama penaja utama yang juga usahawan tempatan berjaya, Erwandi Awis, Pakaian Terbaik (King & Queen), Cabutan Tiket Bertuah dan Makan Malam.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Jumain Abdul Ghani, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin, Pemimpin Pembangunan Rakyat (PPM) Paginatan, Hisyamudin Harun, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau (MDR), Jupirin Ruhimin, serta Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Ranau 2022, Florencia Padasian.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *