Sekuriti Makanan: Mampukah Malaysia Mencari Jalan Penyelesaian?

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 38 Second

oleh Wan Azrain Adnan, kolumnis ekonomi

Bahagian 1

Ketika Malaysia di landa pandemik Covid-19 selama 2 tahun, ekonomi negara telah mengalami penyusutan yang ketara dan banyak sektor ekonomi negara telah terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sempadan negara yang telah di tetapkan oleh Kerajaan Malaysia.

dengan sekatan pergerakan yang telah dibuat serta langkah-langkah intervensi telah menyebabkan banyak perniagaan mengalami kerugian dan menghentikan operasi perniagaan, dan sekaligus menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan mereka.

Apabila Kerajaan Malaysia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan membuka kembali sempadan negara, pastinya rakyat mengharapkan ekonomi negara untuk pulih segera agar kehidupan rakyat menjadi lebih baik dan stabil.

ini juga dapat dilihat melalui Sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang menunjukkan keinginan serta sikap optimis rakyat untuk menjalani kehidupan yang normal seperti sebelum pandemik Covid-19.

SENARIO TIDAK MENENTU DUNIA

Namun begitu, dunia telah di kejutkan oleh peperangan yang tercetus di antara Russia dan Ukraine. Akibatnya, rantaian bekalan perdagangan antarabangsa terjejas dan harga pelbagai komoditi dunia meningkat. Russia dan Ukraine merupakan pengeluar utama dunia untuk komoditi seperti gandum, jagung dan minyak bunga matahari. Oleh yang demikian, industri sampingan yang bergantung kepada komoditi berkenaan juga terkesan, termasuklah industri bekalan makanan.

INDEKS HARGA PENGGUNA

Malaysia juga tidak terkecuali daripada isu global ini. Harga makanan telah meningkat.  Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaporkan bahawa inflasi makanan untuk April 2022 meningkat lebih tinggi pada 4.1%, dengan 89.1% item makanan bagi kumpulan Makanan & Minuman telah merekodkan kenaikan.

Dari satu sudut, peningkatan harga makanan berlaku kerana harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan haiwan ternakan telah meningkat tinggi, hinggakan ada yang telah melebihi 100% peningkatan.  Dengan faktor peningkatan bahan input pertanian ini pastinya ianya akan memberikan kesan terus kepada peningkatan harga makanan termasuklah harga ayam dan ikan.

Malah Media ada melaporkan bahawa pendaratan ikan terutamanya di utara Semenanjung Malaysia telah berkurangan sebanyak 70% sejak beberapa bulan yang lepas.

Kesan isu global ini di rasai oleh rakyat kerana Malaysia amat bergantung kepada import makanan untuk memenuhi keperluan makanan domestik. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2020, jumlah import makanan Malaysia ialah RM 55.5 billion, berbanding eksport makanan RM 33.8 billion, menyebabkan defisit perdagangan makanan yang besar (RM 21.7 billion ataupun 64% dari eksport makanan). Lebih membimbangkan ialah peningkatan yang lebih pantas import berbanding eksport telah menyebabkan defisit perdagangan produk makanan negara meningkat 24.9% berbanding tahun 2019.

Mengikut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, jumlah import makanan negara terus meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun daripada RM45.3 billion pada 2015 kepada RM55.4 billion pada tahun 2020. Oleh yang demikian, kebergantungan tinggi kepada import makanan ini bermakna Malaysia akan terus terkesan dengan situasi bekalan makanan antarabangsa untuk jangka masa panjang. Penyusutan nilai Ringgit ketika ini memburukkan lagi situasi.

CABARAN UNTUK MALAYSIA

Adakah rakyat Malaysia mampu hidup selesa dengan kos sara hidup yang terus meningkat? Sudah pasti TIDAK. Majoriti rakyat Malaysia tidak mampu hidup selesa untuk jangka masa panjang memandangkan skala gaji di Malaysia masih rendah, walaupun kadar Gaji Minimum telah dinaikkan kepada RM 1,500 sebulan bermula 1 Mei 2022. Tambahan lagi, ramai yang masih tiada pekerjaan dan masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia,

Peningkatan Harga input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan haiwan telah pun berlaku sejak pandemik Covid-19. Peperangan Russia- Ukraine telah memburukkan lagi situasi sektor pertanian di Malaysia yang sememangnya menjurus ke tahap kritikal.

Sewajarnya, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah preventive awal untuk menangani isu berkenaan. Sebagai contoh – isu bekalan ayam yang kini tidak mencukupi.

Akibat kenaikan harga input pertanian, ramai petani dan syarikat pertanian telah mengalami kerugian serta menutup operasi, yang akhirnya menyebabkan bekalan makanan berkurangan di pasaran. Malah ramai juga para petani dan syarikat pertanian terpaksa menyerap kenaikan harga input pertanian dan menanggung kemerosotan keuntungan, agar pengguna masih boleh mendapat bekalan makanan. Tapi sampai bila? Asas perniagaan ialah untuk menjana keuntungan.

Apabila perniagaan untung, maka ada peluang pekerjaan. Tambahan lagi, pelaburan baru boleh dibuat untuk mengembangkan operasi dan menyediakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan.

Namun begitu, sekiranya kos operasi perniagaan melebihi pendapatan perniagaan, sudah tentu perniagaan akan mengalami kerugian dan seterusnya terpaksa menutup operasi perniagaan sekiranya kerugian berpanjangan. Ini akan memberi kesan negatif kepada pemilik, pekerja serta ekonomi negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *