HomeUtamaKerajaan negeri peruntukkan RM9.5 juta laksana kegiatan kebudayaan, seni dan budaya

Kerajaan negeri peruntukkan RM9.5 juta laksana kegiatan kebudayaan, seni dan budaya

Read Time:2 Minute, 10 Second

PENAMPANG: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Sabah dan RM400,000 kepada persatuan kebudayaan bagi melaksanakan kegiatan kebudayaan, kesenian dan bahasa dalam Belanjawan 2022 Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, usaha ini bagi memastikan kekayaan tradisi budaya dan kepelbagaian etnik merupakan ciri keunikan dan aset sektor pelancongan akan terus dipelihara untuk diwarisi generasi akan datang.

“Satu Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah akan digubal untuk memartabatkan khazanah warisan berharga Sabah ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Antara strategi yang akan digerakkan adalah program pendigitalan untuk memperkasa capaian data dan akses berhubung budaya, etnik dan warisan negeri melalui Pembangunan Cultural Mapping dan Pembangunan e-Heritage,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2022 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuann Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.

Majlis penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag dan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa berusaha memastikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan dan dapat dinikmati oleh semua rakyat Sabah.

“Sehubungan itu, saya menggesa semua rakyat Negeri Sabah tanpa mengira latar belakang untuk sentiasa bersatu padu menyokong kerajaan dalam menjayakan setiap inisiatif SMJ demi pembangunan dan kemajuan negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut melahirkan rasa gembira kerana berpeluang turun padang dan berjumpa dengan rakyat dalam perayaan Pesta Kaamatan, selepas hanya dapat diadakan secara maya sebelum ini akibat penularan pandemik COVID-19.

Katanya, kemeriahan sambutan di seluruh negeri ini jelas membuktikan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini sentiasa kukuh dan terpelihara.

“Saya percaya simbolik semangat perpaduan yang ditunjukkan dalam perayaan ini akan terus tersemat dan dijadikan contoh untuk memacu pembangunan serta kemajuan negeri ini.

“Perayaan ini sesungguhnya mampu menyatukan semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan budaya di negeri ini. Saya berharap perpaduan ini akan terus dipelihara dan dipertahankan oleh rakyat negeri ini pada setiap masa,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut berharap agar Pesta Kaamatan yang bertemakan “Kaamatan Menjiwai Alam Semula Jadi” ini akan terus dimartabatkan sebagai mercu tanda kejayaan perpaduan, persefahaman dan kegemilangan rakyat berbilang kaum di Sabah.

“Keharmonian dan warna-warni seni budaya di negeri ini menjadikan Sabah unik dan istimewa, di samping memiliki kecantikan serta keindahan alam semulajadi yang berupaya menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular