Pesta Kaamatan bantu tingkat imej, nama baik negara kepada pelancong dan pelabur asing

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

PENAMPANG : Sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan di negeri ini terbukti telah meningkatkan lagi imej dan nama baik negara khususnya kepada pelancong serta pelabur asing.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, sambutan perayaan ini juga sekaligus dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan.

Katanya, Pesta Kaamatan ini juga adalah wadah kepada pelbagai kaum untuk lebih bersikap dinamik, kreatif dan berdaya saing dalam semua aspek khususnya bagi meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing.

“Sambutan perayaan Pesta Kaamatan ini mampu memberi ikhtibar kepada kita semua untuk menghargai warisan turun temurun yang dikurniakan oleh nenek moyang kita agar tidak lapuk ditelan zaman.

“Betapa pentingnya kita untuk mengekalkan tradisi dan adat resam yang tidak ternilai harganya pada zaman moden ini kerana ianya terbukti memberi manfaat kepada kita dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di sini hari ini.

Majlis penutupan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.

Jeffrey berkata, Pesta Kaamatan ini bertujuan diraikan untuk mensyukuri akan nikmat Tuhan yang diberi atas hasil tanaman padi yang subur sepanjang tahun.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama kerana menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah.

“Selain itu juga ucapan terima kasih kepada semua tetamu kehormat yang sudi bersama-sama meluangkan masa ke pengakhiran atau penyudahan acara Pesta Kaamatan pada hari ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *