Program derma darah bermaklumat tarik minat orang ramai bantu pesakit

Read Time:2 Minute, 1 Second

KUALA PENYU : Program derma darah bermaklumat merupakan satu pendekatan unik yang dilaksanakan Pejabat Penerangan Kuala Penyu yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu Hamdan Tahir berkata, program yang diadakan dengan lebih santai selain pematuhan prosedur standard operasi (SOP) itu akan dapat menarik minat lebih ramai penderma darah dan pengunjung ke Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Malaysia Kuala Penyu.

“Program ini diteruskan seperti tahun lalu kerana keunikannya ialah penderma darah bukan sahaja menderma darah, malah boleh terus mendapatkan maklumat-maklumat terkini sama ada dalam bentuk edaran bahan penerbitan dan pelbagai sumber lain.

“Antaranya seperti perkhidmatan info atas talian, mini pameran visual dan pastinya kaedah ini memudahkan Jabatan Penerangan untuk menyebar luas maklumat berkenaan konsep Keluarga Malaysia, lima prinsip rukun negara dan fasa endemik COVID-19.

“Hasil kerjasama antara Pejabat Penerangan dengan Hospital Kuala Penyu dan Hospital Beaufort, kali ini kami bawakan khas pameran-pameran mini dan kaunter khas lain seperti kaunter dari Unit Promosi Kesihatan yang membawa klinik berhenti merokok dan pengikrar derma organ serta Klinik Mata untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Info on Wheels Pusat Maklumat Rakyat dan Derma Darah Bermaklumat yang diadakan di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Penyu, di sini baru-baru ini.

 “Dengan adanya kaunter-kaunter ini, pengunjung yang hadir tidak perlu berbaris di hospital untuk mendapatkan pemeriksaan mata atau mendaftar ke klinik, kita bawakan khas pegawai-pegawainya sendiri ke dalam komuniti dan pengunjung boleh berjumpa terus untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.

Pada kali ini, Program Info on Wheels Pusat Maklumat Rakyat dan Derma Darah Bermaklumat berjaya mengutip sejumlah 47 beg darah hasil sumbangan penduduk Pekan Kuala Penyu dan sekitar serta agensi kerajaan yang menderma untuk membantu pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital.

Hamdan berkata, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Penyu dari masa ke semasa akan terus mengadakan banyak lagi program bersama komuniti setempat dan akan terus bekerja sama dengan rakan-rakan strategik seperti hospital dan jabatan-jabatan lain serta badan bukan kerajaan dalam kalender aktiviti tahun ini.

Dalam program itu, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Penyu selaku ketua pasukan tabung darah, Dr Pearly Ng turut memuji semangat dan komitmen masyarakat Kuala Penyu yang hadir menderma.

Katanya, penderma yang hadir merupakan penderma darah konsisten dan ada juga penderma darah baru dan sambutan amat menggalakkan selain berharap penduduk Kuala Penyu terus menyokong program-program derma darah yang diadakan Hospital Kuala Penyu di masa-masa akan datang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.