HomeIsu tempatanKPDNHEP rampas 3,715 liter minyak diesel bersubsidi disyaki diseleweng

KPDNHEP rampas 3,715 liter minyak diesel bersubsidi disyaki diseleweng

Read Time:2 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 3,715 liter minyak diesel bersubsidi dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Sabah dalam satu serbuan di sebuah stor di daerah Penampang pada Jumaat.(3 Jun)

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, serbuan ke atas premis yang disyaki melakukan penyelewengan diesel dilakukan pada pukul 1.40 pagi oleh sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah.

Katanya, serbuan ini adalah hasil risikan selama dua minggu berhubung kegiatan itu di kawasan Penampang.

“Semasa serbuan dijalankan, terdapat seorang lelaki di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan di pintu hadapan stor berkenaan dan hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati kenderaan tersebut ada mengangkut lima tong jerikin yang mengandungi 165 liter minyak diesel manakala di dalam stor terbabit, terdapat sejumlah 3,550 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki-tangki plastik,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Zulfamy, berdasarkan keterangan awal, premis tersebut tidak mempunyai kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan. Pegawai penguat kuasa KPDNHEP kemudian bertindak menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, tangki-tangki yang berada di dalam stor, pam elektrik, hos getah dan 3,715 liter minyak diesel dengan nilai rampasan RM60,487.75.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Dalam pada itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Sementara itu, kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Para pengusaha stesen minyak juga adalah diingatkan agar tidak menjual diesel bersubsidi dan RON 95 kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.

“Siasatan dan tindakan di bawah subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, pelanggaran subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu selaku Peruncit barang kawalan tidak mematuhi arahan pengawal akan diambil ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak yang didapati terlibat,” tegasnya.

“KPDNHEP Negeri Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan petrol RON95 dan minyak diesel di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perluas kerjasama peringkat antarabangsa dalam pengurusan bencana

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya