Tindakan segera diambil baiki jambatan rosak di Kampung Biah Skim

Read Time:1 Minute, 8 Second

SOOK : Tindakan segera akan diambil bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan membaiki kerosakan struktur utama jambatan yang rosak akibat hujan lebat dan air sungai yang deras di Kampung Biah Skim.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, jambatan berkenaan merupakan laluan menghubungkan Kampung Biah Skim 1 dan Kampung Biah Skim 2.

“Pada hari ini saya mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan jambatan yang rosak di Kampung Biah Skim akibat hujan lebat dan air sungai yang deras.

“Hasil tinjauan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Keningau, tindakan akan diambil merangkumi kerja-kerja kecemasan oleh pihak konsesi dengan segera,” katanya ketika ditemui pada lawatan itu di sini hari ini.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, kerja-kerja kecemasan itu akan dilaksanakan dengan menggunakan Jambatan Bailey sedia ada.

Katanya, jambatan itu akan ditambah panjangnya sehingga 34 meter dan pada masa ini panjang jambatan sedia ada adalah sepanjang 28 meter.

“Abutment di bawah jambatan akan dibuat dengan segera untuk menampung panjang tambahan jambatan sedia ada.

“Tembok Gabion akan dibuat pada bahagian tepi sungai yang terhakis untuk mengurangkan atau mengelakkan hakisan daripada berlaku,” katanya.

Sementara itu, Arthur turut memohon penduduk yang berada di kawasan terjejas untuk bersabar dan menggunakan jambatan gantung yang tersedia sementara kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut dijalankan.

Katanya, kerja-kerja berkenaan adalah bergantung kepada keadaan cuaca dan dijangka akan dapat siapkan dalam tempoh 10 hingga 14 hari.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.