Langgar syarat lesen, bot nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana melakukan pelbagai kesalahan melanggar syarat sah lesen di perairan Pulau Gaya di sini pagi semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan itu ditahan KM Bistari selepas didapati melanggar syarat sah lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

“Bot terbabit didapati beroperasi dengan kru melebihi daripada yang dibenarkan iaitu seramai 12 orang sahaja.

“Semasa pemeriksaan dijalankan dilokasi, pasukan menggeledah mendapati terdapat seramai 16 orang di atas bot terbabit termasuk tekong dengan tiga daripadanya, disyaki warganegara asing berusia lingkungan 20 ke 33 tahun selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata, kapal dan kru seterusnya ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Sepanggar, Kota Kinabalu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Katanya, tekong dan kru kapal disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Segala aduan dan laporan mengenai salah laku jenayah laut orang ramai boleh melaporkan kepada Maritim Malaysia melalui talian telefon ke Bilik Operasi Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan dinombor 088-387774,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *