HomeUtamaKompleks IADA bakal jadi mercu tanda pembangunan industri padi, beras di Sabah

Kompleks IADA bakal jadi mercu tanda pembangunan industri padi, beras di Sabah

Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA BELUD : Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM36 juta bagi pembinaan Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) yang akan menjadi satu mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras di Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kompleks itu juga selaras dengan usaha Kerjaaan bagi memperkasa peranan IADA selain turut membantu kepada pembangunan subsektor padi di daerah ini.

Katanya, kompleks itu dijangka akan siap dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) ianya dijangka akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik dan cekap.

“Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian, makmal analisis pertanian dan lain-lain.

“Kerajaan juga sedang giat membangunkan sistem pengairan dan saliran Kota Belud yang melibatkan kos sebanyak RM410.39 juta untuk mengatasi masalah air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di IADA di sini hari ini.

Ronald berkata, projek pembangunan ini merangkumi 17 projek pembangunan dan melibatkan kerja-kerja naik taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan tali air utama, pembinaan jalan ladang dan infrastruktur lain yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Katanya, seluas 5,000 hektar kawasan penanaman padi sebanyak dua kali setahun akan dapat dilaksanakan apabila ianya siap kelak.

“Pembangunan infrastruktur ini tentu sekali akan memberi manfaat kepada pesawah dari segi peningkatan hasil dan pendapatan sekaligus menyumbang kepada peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) Sabah kepada 60 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, kawasan sawah terbiar seluas 45 hektar di daerah ini melibatkan 40 orang pesawah akan dibangunkan melalui inisiatif SMART SBB dan dijangka akan meningkatkan pendapatan pesawah melalui kerjasama strategik awam-swasta bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Katanya, program SMART SBB yang dirangka khusus sebagai hala tuju baharu subsektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti dalam mencapai SSL beras 75 peratus sebagaimana yang ditetapkan dalam tempoh RMKe-12 sekaligus mengurangkan kebergantungan import.

“Saya yakin kolaborasi strategik antara MAFI dengan syarikat-syarikat peneraju akan menjadi titik permulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan.

“Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan sebanyak RM68.97 juta kepada Sabah bagi tahun 2022 menerusi tiga program subsidi input dan satu program subsidi output.  Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 45,016 orang pesawah termasuk pesawah padi bukit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ronald berkata, Kementeriannya juga bercadang untuk mengoptimumkan penggunaan sumber tanah di Sabah dan Sarawak.

Katanya, sasaran pembukaan kawasan jelapang baharu itu adalah seluas 200,000 hektar di kedua-dua buah negeri melalui kerjasama Kerajaan Negeri masing-masing dengan anggaran pengeluaran hasil padi sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.

“MAFI dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah sentiasa berusaha untuk membawa pelbagai pembangunan dan kemajuan kepada industri padi dan beras Sabah sekaligus membantu pesawah dalam meningkatkan hasil dan pendapatan melalui program dan pendekatan bagi memastikan bekalan sekuriti makanan terjamin dan mencukupi sepanjang masa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lapan mangsa tragedi helikopter TLDM terhempas selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya