Kerajaan setuju laksana tiga lagi intervensi tambahan tangani isu bekalan makanan negara – Ronald

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 11 Second

PUTRAJAYA : Pelaksanaan tiga lagi intervensi tambahan bagi menangani isu bekalan makanan negara dipersetujui Kabinet sekaligus merancakkan lagi aktiviti pengeluaran makanan domestik.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, antara yang dipersetujui ialah program kebuniti Keluarga Malaysia; program stokpail ikan segar beku Q-FISH dan penambahan abattoir dan loji pemprosesan luar negara.

Katanya, sebanyak RM30 juta diperuntukkan tahun ini bagi pelaksanaan program kebuniti Keluarga Malaysia yang akan memberi manfaat hampir 1,350 penerima.

“Ia terdiri daripada pelbagai peringkat termasuk komuniti; usahawan dan koperasi yang terlibat dalam rantaian pengeluaran pertanian komuniti.

“Program stokpail ikan segar beku Q-FISH adalah sebagai persediaan bagi menampung bekalan semasa musim tengkujuh dan monsun melibatkan penyediaan kuantiti stokpail sebanyak 1,000 tan metrik dengan peruntukan sebanyak RM7 juta.

“Sebanyak 135 pasar nelayan dan 103 outlet sedia ada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dimanfaatkan sebagai saluran pasaran serta ejen baharu dengan fasiliti penyimpanan bakal diwujudkan di 222 kawasan parlimen yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.7 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Ronald berkata, penambahan abattoir dan loji pemprosesan luar negara turut dilaksanakan bagi meningkatkan dan mempelbagaikan sumber import bekalan ayam dan daging.

Katanya, bagi bekalan ayam, pertambahan loji pemprosesan ayam melibatkan 51 buah loji dengan 33 loji dari enam negara sumber sedia ada manakala 18 adalah sumber loji baharu juga dicadangkan dari lapan negara.

“Manakala, bagi bekalan daging/kerbau/kambing, pertambahan 94 abattoir ruminan baharu iaitu 82 buah abattoir di negara sedia ada dan 12 buah abattoir dari sembilan negara sumber baharu,” katanya.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, Kementeriannya juga sedang giat melaksanakan pemberian subsidi kepada penternak sebanyak RM729.43 juta sejak 5 Februari lalu.

Katanya, Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi pada kadar RM0.60/kg dari 5 Februari hingga 30 Mac dan RM1.40/kg bagi tempoh 1 April 2022 hingga 30 Jun 2022.

“Sehingga 14 Jun 2022, sebanyak 2,487 permohonan tuntutan subsidi dengan RM178.16 juta telah diluluskan oleh MAFI. Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan sehingga supaya subsidi dapat disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara juga terus bersidang secara mingguan untuk terus memperhalusi langkah-langkah dan intervensi bagi menangani isu bekalan makanan negara.

Katanya, jawatankuasa itu turut memantau status bekalan makanan negara dan pelaksanaan tindakan-tindakan susulan semua inisiatif dan langkah intervensi yang dirangka bagi menangani isu bekalan makanan.

“Kerajaan memantau status sekuriti makanan negara secara berterusan dalam memastikan kebolehcapaian makanan yang cukup, selamat, berkhasiat dengan harga berpatutan secara berterusan oleh rakyat.

“Kerajaan juga prihatin tehadap pengeluar makanan yang memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan makanan kekal terjamin untuk ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *