Pasukan klinik bergerak ditubuhkan bantu beri perkhidmatan kesihatan di Mansiat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menubuhkan satu pasukan klinik bergerak bagi memberi perkhidmatan kesihatan bergerak di kawasan operasi Mansiat yang terletak di Keningau.

Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, ini selepas Klinik Kesihatan Mansiat yang terletak di Jalan Tulid, Sook, Keningau telah musnah terbakar petang semalam.

“Seluruh bangunan berstruktur kayu dan aset di fasiliti klinik telah musnah sepenuhnya termasuk sebuah ambulans. 

“Manakala lima buah kuarters staf yang jaraknya 50 meter dari klinik kesihatan tidak terjejas dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Rose Nani berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Katanya, bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan, orang awam dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang paling hampir iaitu Klinik Kesihatan Tulid yang berada lebih kurang 30 kilometer ke arah Pekan Sook di mana semua perkhidmatan akan dipindah ke fasiliti tersebut.

“Selain itu,  fasiliti lain juga akan dikenalpasti contohnya dewan masyarakat sebagai fasiliti alternatif untuk pemberian perkhidmatan pada penduduk setempat,” katanya.

Semalam,  Klinik Kesihatan Mansiat, di Jalan Tulid, Sook, Keningau dilaporkan musnah dalam satu kejadian kebakaran.

Bangunan berstruktur kayu berkeluasan 1,114 meter persegi itu musnah sepenuhnya selepas dijilat api kebakaran yang bermula kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *