Kerjasama antara KPLB Sabah, Persekutuan akan terus diperkasa – Jahid

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KUDAT: Kerajaan negeri mahu semua Pejabat Daerah di Sabah terus menjalin kerjasama dan memperkasa hubungan yang baik dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, ia termasuklah persetujuan bagi perkongsian maklumat dan penyelarasan projek-projek yang dilaksanakan oleh KPLB Persekutuan di Sabah.

“Kerjasama di antara KPLB Sabah dan KPLB Persekutuan akan terus diperkasa melalui persefahaman dan hubungan baik antara kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pemantauan Penyelarasan Dan Pelaksanaan Projek-Projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Persekutuan) Negeri Sabah Bersama Agensi Pelaksana Bil.1/2022 di sini baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah KPLB (P) Negeri Sabah, Johar Julasbi, dan Ketua Penolong Pengarah KPLB (P) Sabah, Nelbon Tulis Missun.

Jahid berkata, kerjasama di antara kedua-dua kementerian di peringkat Persekutuan dan Negeri amat penting bagi memastikan segala peruntukan dibelanjakan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat.

“Saya dimaklumkan, bagi tahun 2022 sebanyak RM159,771,533 telah dibelanjakan setakat ini dengan melibatkan jumlah projek sebanyak 607 berbanding RM166,170,000 dengan sejumlah 635 projek bagi tahun 2021,” katanya.

Justeru, Jahid berharap kehadiran semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah, serta wakil Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil seluruh Sabah itu akan dapat menyelesaikan pelbagai perkara dan membantu mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, beliau percaya semua Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan sedia ada.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi nasihatnya kepada para pelaksana dasar di peringkat daerah agar sentiasa menjaga integriti dan memegang amanah yang diberi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *