DBP Sabah pergiat kempen budaya membaca, cinta bahasa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah akan mempergiat kempen membudayakan minat membaca dan cinta kepada bahasa kebangsaan melalui program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) mulai Jun tahun ini.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar berkata, melalui program DMK dan DBK, beberapa aktiviti keilmuan disusun atur bertujuan menyemarakkan  budaya membaca serta memalarsegarkan rasa cinta kepada bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat.

“Antara pengisian program DMK termasuklah penganjuran Pertandingan Menulis Novel Kanak-kanak, Pertandingan Sudut Bacaan, Pertandingan Buku Skrap dan Program Wakaf Buku.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar

“Manakala  pengisian program DBK yang menjurus kepada penyemaian budaya intelektual melalui bahasa kebangsaan ialah Pertandingan Jelajah Bahasa Jiwa Bangsa, Sayembara Deklamasi Puisi Alam, Cabaran Fotografi Berpantun serta  Pertandingan Melukis dan Mewarna.”katanya.

Aminah berkata demikan semasa mempengerusikan Mesyuarat  Pertama Jawatankuasa Induk Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2022, di Sudut Penulis, DBP, di sini baru-baru ini.

Katanya,  semua program DMK dan DBK  yang dirancang akan diperhalusi oleh Ahli Jawatankuasa Induk yang dibentuk mengikut kesesuaian tarikh dan lokasi pelaksanaanya dalam masa terdekat.

Antara agensi lain yang memberikan kerjasama menganjurkan kedua-dua program ini ialah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Perbadanan Labuan, Yayasan Sabah, Taman-Taman Sabah, Jabatan Penyiaran Kawasan Sabah, Jabatan Penerangan Sabah, Hospital Wanita dan Kanak-kanak  dan Pejabat Daerah Ranau.

Orang ramai dialu-alukan menyertai pelbagai program yang dianjurkan.Sebarang pertanyaan berhubung program boleh berhubung  dengan Rusdi Awang (DBK) dan Jennitah Noordin (DMK) melalui talian 088-439314/315. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *