HomeIsu tempatanGraduan tampil menjadi 'bintang seni' pada Majlis Konvokesyen UMS

Graduan tampil menjadi ‘bintang seni’ pada Majlis Konvokesyen UMS

Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU : “Saya hanya berlatih beberapa hari sebelum majlis bersejarah ini berlangsung dan semua ini tidak dirancang,” kata Felix Majinar,25, graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anak kedua dari empat beradik itu diberi penghormatan untuk membuat persembahan nyanyian sambil memakai jubah konvokesyen UMS kali ke-23 bagi graduan tahun 2021 di Dewan Canselor di sini hari ini.

Dia yang berasal dari daerah Ranau mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan kepujian (Seni Muzik) di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTIF) mendendangkan lagu bertajuk ‘Saya Mau Jadi Hero’ hasil ciptaan lagu dan lirik oleh pensyarahnya Roslee Wahid.

Felix Majinar

Felix juga menjadi antara graduan yang menerima Ijazah yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMS Tan Sri Azman Hashim pada sidang kedua majlis berkenaan.

“Saya tidak terfikir untuk membawa lagu ini, ini semua ada idea dari pensyarah saya.  Dia juga telah memberi kejutan kepada saya seterusnya saya pula memberi kejutan kepada hadirin yang hadir pada sidang kedua konvokesyen ini.

“Sebenarnya saya memang minat kepada bidang muzik, major saya adalah kepada vocal tetapi lebih kepada muzik klasik.  Sebelum masuk UMS pada 2017, saya pernah mengikuti beberapa pertandingan namun nasib tidak menyebelahi saya pada ketika itu,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini hari ini.

Katanya, sebelum ini dia juga perlu mengikuti beberapa pertandingan nyanyian sempena Pesta Kaamatan khususnya Sugandoi di beberapa daerah di Sabah termasuk di Semenanjung.

“Pada 2019, saya pernah menyertai pertandingan nyayian di Penampang.  Pada ketika itu saya cuma berada pada Top 10.  Namun pada tahun ini, saya mencuba banyak tempat.

“Antaranya Sugandoi Johor Baharu saya memperoleh keputusan Naib Johan; Klang Valley Top 3 dan Putrajaya saya dapat tempat naib johan,” katanya.

Dia turut mengakui, minatnya kepada nyanyian sangat mendalam selain suka menghiburkan orang ramai.

Ketika ditanya perancangan akan datang, Felix berkata, dia akan membuat kelas muzik sendiri dan mengajar vokal.

“Memandangkan saya belum lagi bekerja di Kerajaan mahupun swasta, saya sekarang lebih kepada mengadakan kelas sendiri dan mengajar tentang vokal.

“Saya tahu ramai yang mengajar vokal tapi saya juga mahu mendedahkan bidang ini kepada mereka melalui kelas saya sendiri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular