HomeUtama105 pengemis jalanan ditahan, dihantar kembali ke Semporna

105 pengemis jalanan ditahan, dihantar kembali ke Semporna

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU : Seramai 105 orang disyaki warga asing ditahan dalam satu siri operasi bersepadu yang dilaksanakan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu di sini semalam.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, operasi bersepadu itu turut disertai oleh seramai 109 anggota dari pelbagai agensi.

Katanya, antara kawasan terlibat adalah di sekitar penempatan atas air Kampung Sembulan dan penempatan setinggan berhadapan Jabatan Cetak Negeri Sabah.

“Operasi yang bermula dari jam 7 pagi hingga 2 petang itu telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di kawasan-kawasan sasaran seterusnya berjaya mengumpulkan seramai 105 orang yang disyaki warganegara asing tanpa dokumen yang sah.

“Setelah proses dokumentasi, didapati seramai 103 orang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah namun tujuh orang telah diberi pelepasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah atas faktor kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noorliza berkata, seramai 98 orang telah ditangkap iaitu terdiri daripada 13 orang lelaki dewasa, 27 orang perempuan dewasa, 26 orang kanak-kanak lelaki dan 32 orang kanak-kanak perempuan. 

“Kesemua mereka telah dihantar ke Semporna dengan menggunakan tiga buah bas yang telah bergerak sekitar jam 3 petang semalam.

“Kita berharap agar operasi bersepadu ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan mengikut keperluan semasa dengan kerjasama semua pihak bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga bandar raya Kota Kinabalu khususnya dan para pengunjung umumnya,” katanya.

Dalam pada itu, MKN Sabah dalam satu kenyataan berkata, mereka yang ditahan dan dihantar ke Semporna dilepaskan ke lokasi yang ditetapkan dengan bot khas yang diselaraskan oleh Pegawai Daerah Semporna.

Menurut kenyataan itu, operasi yang turut disertai oleh Pengarah Keselamatan Negeri Sabah, Datuk Bandar Kota Kinabau, Setiausaha Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Timbalan Pengarah JPKA berjaya mencapai sasaran operasi tanpa sebarang insiden berlaku.

MKN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat atas komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan operasi bersepadu ini.

“Kerajaan melalui agensi penguatkuasa akan terus komited dalam melaksanakan operasi seumpama ini untuk melindungi masyarakat daripada masalah-masalah yang dicetuskan oleh kebanjiran kanak-kanak dan pengemis jalanan yang telah sekian lama mencemarkan pemandangan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

“Agensi-agensi penguatkuasa amat menghargai sebarang maklumat dan bantuan yang diberikan oleh orang awam untuk menjejaki dan menahan kumpulan kanak-kanak dan pengemis jalanan dalam operasi ini.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan agensi kerajaan dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan rakyat negeri Sabah,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Terdahulu, antara agensi terlibat termasuklah MKN Sabah; Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Smart Sabah serta Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular