JPAS,Sime Darby tingkat pengurusan alam sekitar sektor perladangan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) dan Sime Darby Plantation (Sabah) Sdn Bhd komited untuk meningkatkan pengurusan alam sekitar khususnya sektor perladangan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, bagi mencapai aspirasi pembangunan mampan, JPAS bersama Sime Darby Plantation telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) pada tahun 2018.

“MOU yang ditandatangani pada tahun tersebut adalah untuk mengurus alam sekitar melalui pematuhan kendiri bagi pelaksanaan program latihan dan kesedaran alam sekitar sektor perladangan.

“Perkara yang terlibat dalam MOU kedua kali ini antaranya adalah pelaksanaan pematuhan kendiri ke atas Perjanjian Syarat-syarat Alam Sekitar dan Perisytiharan Pengurangan bagi memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Tapak Ramsar Tanah Lembab Kota Kinabalu di sini hari ini.

Jafry berkata, program itu juga turut menekankan kesedaran alam sekitar di ladang-ladang Sime Darby dan kawasan-kawasan penempatan sekitarnya serta latihan pengurusan dan perlindungan alam sekitar kepada para pegawai.

Pada majlis tersebut Jafry turut memperkenalkan penerbitan kompilasi buku dan galeri maya amalan terbaik program berkaitan  perubahan iklim di sekolah-sekolah di bawah Program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) Sabah. 

Penerbitan buku dan galeri maya itu merupakan usahasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dengan Conference of Earth Environment from Akita, Japan (CEEA) selama tiga tahun bermula Mac 2016 hingga Mac 2019.

“Buku ini mengandungi  inisiatif pendidikan alam sekitar yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah SERASI yang boleh meningkatkan kesedaran warga sekolah ke arah pengurangan perubahan iklim dan menyokong ‘Sustainable Development Goals’. 

“Pengisian buku ini boleh dijadikan rujukan kepada sekolah-sekolah lain dalam melaksanakan program pendidikan alam sekitar di sekolah.

“Dengan itu, saya amat gembira dengan pelancaran buku bertajuk “Amalan Terbaik Perubahan Iklim Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI)” dan galeri secara maya hari ini, dan semoga akan digunakan sebagai bahan rujukan sepenuhnya oleh semua sekolah di negeri Sabah,” katanya.

Pada majlis tersebut, Jafry turut menyampaikan hadiah bagi pertandingan fotografi terbaik sempena hari Alam Sekitar Sedunia peringkat negeri kepada pemenang tempat pertama Rudy Matt dari Putatan, tempat kedua Siti Aliah Ismail (Lahad Datu) dan dua pemenang tempat ketiga Freddie Bilu (Kota Belud) dan Chong Ken Vui (Kota Kinabalu).

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Sr Mohd Yusrie Abdullah; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Vitalis Justin Moduying; Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Sabah, Ruslan Madisal serta Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sabah, Sime Darby Plantation, Adrianudin Raj Azman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *