Peruntukan RM1.5 juta tingkatkan latihan & pembangunan kompetensi warga pendidik MARA

Read Time:1 Minute, 43 Second

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM1.5 juta bagi meningkatkan latihan dan pembangunan kompetensi warga pendidik MARA untuk memastikan kualiti pendidikan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) setanding dengan negara maju.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, MARA juga menawarkan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi kepada 4,336 warga pendidiknya sejak tahun 2002 hingga 2020 di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran dan Diploma Pendidikan.

“inisiatif ini adalah amat penting bagi memperkasakan ilmu dan kemahiran warga pendidik MARA lebih profesional dan setaraf dengan pendidik dari luar negara khususnya yang terdapat dalam Senarai Ivy League seperti di Oxford dan Harvard University.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pendidik MARA 2022 di ibu negara hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB (Pembangunan), Mas Rizal Mohd Hilmi dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Jelas Mahdzir, selain pendidik, MARA juga sentiasa komited dan peka bagi memastikan pelajar IPMA belajar dalam suasana kondusif melalui penjagaan kebajikan serta menaiktaraf kemudahan infrastruktur di pusat pendidikan MARA.

“Fasiliti pusat pendidikan yang lengkap amat penting bagi menjamin keselesaan kepada 110,210 orang pelajar IPMA di seluruh negara untuk menjadikan pembelajaran mereka lebih efisien dan sistematik.

“Kita juga memberi penekanan tinggi terhadap mobiliti pelajar-pelajar MARA ke peringkat antarabangsa agar tidak terhenti atau ditangguhkan menerusi program tajaan pelajaran ke luar negara dalam pelbagai bidang yang melibatkan 1,500 orang setakat ini.”

Sementara itu, Sambutan Hari Pendidik MARA tahun ini bertemakan ‘Pendidik Tunjang Generasi Berilmu’.

Tema tersebut dipilih bertepatan dengan hasrat pihak kerajaan untuk mewujudkan golongan pendidik yang membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan.

“Saya yakin tema yang dipilih ini akan mencetuskan semangat baharu seterusnya menjadi azimat kepada para pendidik MARA dalam usaha membentuk modal insan sempurna”, ujar Mahdzir.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan anugerah kepada pendidik yang terpilih serta merakamkan ucapan penghargaan kepada 10,485 orang pendidik MARA di seluruh negara.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.