Penetapan harga siling ayam, telur bantu kurang impak kos sara hidup 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 1 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kerajaan melaksanakan penetapan harga siling ayam dan telur bagi membolehkan rakyat membeli sumber makanan penting itu di bawah harga sebenar, sekali gus mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup mereka, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga input makanan dan inflasi namun kerajaan komited mengambil pebagai langkah untuk memastikan rakyat tidak terbeban.

Beliau berkata ayam merupakan antara komponen bahan makanan yang disubsidi kerajaan secara langsung setelah mengambil kira pelbagai sudut dan aspek termasuk memastikan kepentingan pihak industri.

“Kerajaan Malaysia merupakan kerajaan yang bertanggungjawab yang ingin memastikan bahawa impak terhadap peningkatan kos makanan ini dapat diminimumkan oleh rakyat.

“Sebab itu pelbagai langkah dan tindakan diambil (kerajaan) antaranya mensubsidikan harga beberapa jenis makanan agar rakyat dapat membeli pada harga yang di bawah paras harga sebenar,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di sini hari ini.

Kerajaan pada 29 Jun mengumumkan harga siling ayam standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram, manakala harga siling runcit telur ayam bagi gred A adalah pada 45 sen/biji;  gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia, berkuatkuasa 1 Julai.

Ronald berkata perbezaan antara harga jualan dan harga sebenar, ditampung kerajaan melalui pemberian subsidi.

“Kami letakkan harga RM9.40 sekilogram bagi harga ayam standard dan perbezaan ini ditampung oleh kerajaan melalui subsidi yang akan beri impak kewangan lebih RM360 juta termasuk harga subsidi bagi telur ayam. Itu merupakan langkah diambil bagi menangani mengurangkan impak terhadap peningkatan kos sara hidup yang sedang dialami rakyat,” katanya.

Sementara itu ketika berucap, Ronald berkata Jawatankuasa Sekuriti Makanan yang akan dibentuk menerusi kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, akan menjadi pemangkin kepada pengurusan sumber yang lebih cekap dan mampan.

“Sewajarnya, pemerkasaan sektor agromakanan ini akan dapat dilaksanakan melalui peningkatan produktiviti, pengukuhan sistem sokongan dan perkhidmatan serta pengurusan sumber yang cekap dan mampan,” katanya.

Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikannya pada hari tersebut yang turut dihadiri menteri-menteri Kabinet berkaitan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *