Pengorbanan adik berbaloi, raih kejayaan bersama abang yang hidap ‘Cerebral Palsy’

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Dua beradik yang menamatkan pengajian menerusi Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (UMS) cawangan Tawau secara serentak berjaya mencuri tumpuan ramai pada Majlis Konvokesyen UMS kali ke-23 yang diadakan di sini baru-baru ini.

Hiew Soon Lung, 29, dan Hiew Li Ling, 26, masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber Manusia (Kepujian) pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor UMS.

Yang menariknya salah seorang daripada mereka iaitu Soon Lung merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan menghidap penyakit ‘Cerebral Palsy’.

Soon Lung berkata, penyakit yang dihadapinya menyebabkan tangan kanan dan kiri tidak kelihatan normal seperti orang lain.

“Saya mengambil keputusan memilih PLUMS Tawau kerana waktu pembelajaran yang fleksibel dan lokasinya berdekatan dengan kediaman kami.

“Berkat pertolongan daripada adik yang sentiasa menjaga saya sepanjang pengajian, saya berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.51,” katanya.

Sementara itu, Li Ling berkata, beliau pada awalnya meneruskan pengajian di UMS Labuan, namun terpaksa berpindah ke PLUMS Tawau demi menjaga abangnya.

“Saya dan abang berada dalam kelas yang sama dan kami sering memberikan motivasi serta sokongan moral dalam apa juga tugasan yang diberikan pensyarah.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan – rakan sekelas yang turut memberi tunjuk ajar demi peningkatan kejayaan bersama,” katanya yang memperoleh keputusan PNGK 3.49.

Kedua graduan tersebut turut merakamkan kesyukuran dan penghargaan kepada ibu bapa dan ahli keluarga serta semua kenalan yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka.

“Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jangan pernah sesekali berputus asa sehingga mencapai ke garisan penamat.  Jangan pernah untuk takut melakukan kesilapan atau mengalami kegagalan semasa belajar, kerana kesilapan dan kegagalan itulah yang akan membentuk anda menjadi insan yang lebih baik.

“Bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian dengan ruang lingkup pembelajaran yang lebih fleksibel, saya amat menyarankan anda melanjutkan pengajian menerusi PLUMS termasuk golongan yang senasib dengan saya,” tambah Soon Lung.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.